Muhasabah

|
Di dalam satu program qiyamullayl bersama ikhwah UTM, ana telah diberikan peluang untuk menyampaikan kultum (KULiah TUjuh Minit):

"BismiLlahirrahmanirrahim.
AlhamduliLlah pada pagi yang mulia ini, marilah kita sama-sama meningkatkan kesyukuran kita kepada ilahi kerana dengan keluasan rahmatNya kepada kita, kita dibangkitkan oleh Allah SWT dan kita telah diberikan peluang oleh Allah untuk hidup dengan nikmat Iman dan Islam.

Pada pagi ini, suka ana ingin mengajak antum semua memuhasabah diri antum, dengan persoalan 'adakah kita datang ke program ini disebabkan kawan kita datang sekali?' atau 'adakah kita datang ini sebab ingin berjumpa dengan ikhwah lain?' atau sebenarnya 'kita ini datang kerana ikhlas ingin menunaikan ibadah kerana Allah SWT'?

Ikhwah sekalian, suka juga ana ingatkan kepada antum semua tentang sebuah hadith Nabi SAW yang sering diletakkan di tempat pertama dalam kebanyakan buku hadith iaitu hadith tentang niat:

"Sesungguhnya setiap amalan itu adalah dengan niat, dan sesungguhnya setiap orang itu dinilai berdasarkan apa yang diniatkannya..."
[Mutafaqqun 'Alayh]

Ikhwah dan akhawat yang dirahmati Allah... Er.. Silap, ikhwah dan ikhwah yang dirahmati Allah (terlupa pulak time tu takdak akhawat, hampeh... kata-kata yang terlepas habis kena gelak), andai kata kita kita datang ke program ini dengan penuh keikhlasan kepada Allah, nescaya kita akan dapat merasai kemanisan yang ada daripada ibadah kita itu. Dan seandainya tidak, maka kemanisan beribadah itu akan hilang sama sekali.

"Dan tidak ada satu jiwapun yang mengetahui apa yang mereka sembunyi untuk diri mereka sendiri dari apa yang menyenangkan hati mereka, yang demikian itu merupakan ganjaran terhadap apa yang mereka kerjakan."
[as-Sajdah, 32:17]

Kemudian ikhwah sekalian, ana juga ingin mengajak antum semua agar kita semua bersama-sama beristiqamah dengan setiap amalan baik yang kita lakukan kerana Allah SWT telah berfirman:

"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan 'Tuhan kami adalah Allah' kemudian mereka beristiqamah, akan turun kepadanya malaikat bahawa 'Janganlah kamu takut, dan janganlah kamu sedih. Dan bergembiralah kamu dengan Jannah yang telah dijanjikan kepadamu.' "
[Fussilat, 41:30]

Hal yang demikian itu terjadi disaat kematian kita, kita akan didatangi dengan malaikat membawa berita-berita yang gembira tersebut. Menyampaikan kepada kita tentang syurga yang telah dijanjikan kepada kita. Dan kesemua ini hanya akan berlaku jika kita ini tetap terus beristiqamah di atas jalanNya sehinggalah saat kematian itu tiba.

Jadi ikhwah sekalian, marilah kita saling memuhasabah diri kita agar niat kita sentiasa diikhlaskan kepada Allah SWT dan agar kita sentiasa dapat beristiqamah di atas jalan ini sehingga kita ini dapat berjumpa kembali di 'sana' nanti.

Sesungguhnya barangsiapa yang diberikan pertunjuk oleh Allah nesacaya dia itu termasuk dari kalangan orang yang dipimpini, dan barangsiapa yagn tidak mendapat petunjuk nescaya tidak ada seorangpun penlong baginya dan dia termasuk orang yang rugi. Apa yang baik itu datang dari Allah dan yang buruk itu sebagai membuktikan bahawa diri ana ini seorang manusia yang mempunyai banyak kelemahan.

WaLlahu a'lam."

Dan majlis diserahkan kembali kepada pengerusi majlis brother Akmal.

No comments: