Syukur

|
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu: 'Sekiranya kamu bersyukur akan Aku tambahkan bagimu, dan sekiranya kamu kufur sesungguhnya azabKu sangat dasyat' "
[Ibrahim, 14:7]
Teruskan membaca!

#1 Rendah Diri

|
Secara fitrahnya seseorang insan lebih gemar bersama-sama dengan orang yang bersikap dengan sikap rendah diri. Tidak meninggi-ninggikannya dirinya ke atas orang lain dan sekaligus tidak menghina orang lain sama ada secara zahirnya atau batinnya. Siapakah di muka bumi ini suka berkawan atau bersahabat dengan orang yang suka menghinanya? Sudah tentu tiada, kalau adapun hanya dari kalangan orang-orang tidak ikhlas di dalam persahabatan yang mengharapkan sesuatu yang selain dari persahabatan yang ada pada orang tersebut.

Fitrah ini telah diperkuat pula dengan suatu qudwah yang sangat baik dari insan yang terbaik yang memiliki keperibadian yang terbaik, iaitu seorang insan yang bernama Muhammad bin Abdullah (SAW) yang juga merupakan RasuluLlah yang terakhir. Dan sebenarnya, tidak ada contoh yang lebih baik selain dari contoh yang telah ditunjukkan oleh keperibadian yang agung ini:
"Dan sesungguhnya, pada diri RasuluLlah ada contoh yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan Allah, hari Akhirat dan ingin banyak mengingati Allah."
[al-Ahzab, 33:21]

Pernah suatu ketika di dalam peperangan Badr Kubra, RasuluLlah SAW dan para sahabatnya sampai ke perigi Badr yang paling hampir. Lalu seorang sahabat bernama al-Hubab bin al-Munzir bertanyakan kepada Rasul tentang kedudukan atau posisi mereka di dalam peperangan itu, "Adakah ini wahyu yang tidak boleh berubah atau buah fikiran, strategi perang dan tipu helah?" Jawabnya, "Bahkan ia buah fikiran, strategi perang dan tipu helah." Mengetahui hakikat tersebut, al-Hubab bin al-Munzir telah mencadangkan agar bala tentera muslimin mengambil posisi peperangan yang lebih strategik berbanding yang sebelum itu. Andaikata Nabi Muhammad (SAW) bersikap dengan sikap tinggi diri, kerana darjatnya yang merupakan seorang Rasul dan utusan Allah, seorang hamba Allah yang sangat Allah kasihi, dan kedudukannya sebagai seorang panglima perang, bagaimana mungkin baginda menerima pandangan seorang yang lebih rendah darjatnya? Lebih-lebih lagi sahabat tersebut bukan dari kalangan sahabat yang popular?

Di dalam contoh yang lain pula, kita dapat melihat bagaimana tunduknya RasuluLlah SAW ketika baginda mengelilingi Ka'bah dalam peristiwa Fathu Makkah. Tunduknya ar-Rasul yang tercinta itu, sehinggakan dikatakan dahinya sangat-sangat hampir terkena binatang tunggannya. Rendahnya dirinya kepada Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Tepat JanjiNya, yang telah menjanjikan suatu kemenangan yang besar kepada RasuluLlah SAW dan umat Islam keseluruhnnya.

Namun rendahnya diri umat Islam ini, tidak langsung menghilangkan izzah atau rasa bangga mereka dengan Islam, sehinggakan mereka berani memperjuangkan Islam dengan nyawa dan harta mereka. Dan kedua-dua contoh di atas sangat bertepatan dengan hakikat ini. Apatah lagi di dalam al-Qur'an telah disebutkan:
"...Padahal izzah itu hanyalah bagi Allah, RasulNya dan bagi orang-orang mu'min, akan tetapi orang-orang munafiq itu tidak mengetahui."
[al-Munafiqun, 63:8]

Dan suka sangat ingin disimpulkan dengan dua ayat yang mampu membuatkan diri kita tersentak sekaligus cuba merefleksi diri kita, agar kita ini kembali dengan izzah yang mampu mebawa kita kepada kecemerlangan yang hakiki:
"Muhammad adalah RasuluLlah, dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih-sayang sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari karunia Allah dan keredhaanNya. Pada wajah mereka jelas kelihatan tanda-tanda sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka (yang diungkapkan) dalam Taurat dan di dalam Injil. Iaitu seperti benih yang mengeluarkan tunasnya, kemudian tunas itu semakin kuat, lalu menjadi besar dan tegak lurus di atas batangnya. Tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu'min). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan di antara mereka, ampunan dan pahala yang besar."
[al-Fath, 48:29]

"Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamamu, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum (yang lain). Dia mencintai mereka dan mereka juga mencintaiNya, dan bersikap lemah-lembut terhadap orang beriman tetapi bersikap keras terhadap orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendaki. Dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui."
[al-Ma'idah, 5:54]

*Bahagian sirah Nabawiyah diambil daripada buku "as-Sirah an-Nabawiyah, Durus wa 'Ibar (Pengajaran dan Pedoman)" oleh Mustafa as-Siba'ie.
Teruskan membaca!

Ciri Yang Ingin Kita Capai

|
Bismillah ana memulakan bicara...

Artikel yang ana tulis ini adalah buat sahabat-sahabatku yang dikasihi yang baru memulakan usrah agar kita semua jelas dengan apa yang diingini daripada usrah tersebut. Dan juga buat sahabat-sahabatku yang sudah lama mengikuti usrah tetapi masih tidak jelas dengan apa yang ingin dicapai daripada usrah tersebut. Dengan harapan bahawa suatu hari nanti, kita bersama-sama akan menjadi seorang hamba Allah yang hebat sepertimana hebatnya RasuluLlah, para sahabat dan para salafussoleh. Juga dengan harapan pada suatu hari nanti, kita dapat bergerak bersama-sama di dalam satu barisan yang tersusun menyeru manusia kepada Islam yang tulen.

Wahai sahabat yang dikasihi Allah,

Sesungguhnya, banyak sekali ana melihat di kalangan orang yang baru mengikuti usrah, mereka mengikuti dengan pelbagai tujuan. Ada yang tujuannya untuk mencari sesuatu yang dapat memuaskan hatinya, yang sentiasa tercari-cari hala tuju dan arah gerakan di dalam hidupnya. Ada pula yang hanya mengharapkan agar dirinya terpelihara dalam bi'ah (suasana) yang soleh, supaya dirinya tidak dibawa oleh arus maksiat dan kehancuran. Ada juga yang mengikuti usrah kerana terpaksa, kalau tidak nanti ada orang yang tertentu akan tanya dia perkembangan usrah macamana, takut-takut tak dapat dijawab nanti. Tidak terlepas juga golongan orang yang mengikuti usrah kerana mahu dilabel sebagai orang yang 'alim lagi komited dengan da'wah. Dan bermacam-macam lagi sebab yang menghasilkan pelbagai perspektif terhadap fungsi sistem usrah itu sendiri.

Maka disebabkan itu wahai sahabat yang dikasihi, suka sangat-sangat ana mengajak kita sama-sama merenung kembali... Adakah kita ini termasuk dalam salah satu golongan yang niatnya tidak betul atau kita ini termasuk dalam golongan orang yang sentiasa mengikhlaskan diri kepada Allah? Dengan mengharapkan redhaNya dengan mengikuti sistem usrah ini? Marilah kita sama-sama merenung kembali dan memuhasabah diri kita, kerana ada pepatah arab yang mafhumnya, "Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab." Semoga dengan kita menghisab diri kita balik, kita dapat mengikhlaskan diri mengikuti program usrah yang kita ikuti ini.

Sahabatku, setelah itu tidak cukup untuk kita hanya meletakkan keikhlasan di dalam amal kita tetapi kita tidak mengetahui hala tuju kita atau apa yang ingin dicapai daripada amal tersebut. Kerana perkara atau amal yang dilakukan tanpa hala tuju umpama kapal terbang yang terbang di langit dan tidak tahu destinasinya. Ia hanya menunggu minyaknya habis dan kemudian setelah itu ia jatuh terhempas, mengorbankan dirinya. Dia sendiri akan merasa kerugian.

Namun demikian, ana tidak ingin kita melihat jauh sangat terlebih dahulu tetapi kita melihat apa yang ingin kita capai secara individu. Apa yang sepatutnya kita peroleh daripada institusi tarbiyah@usrah dalam konteks ini.

Sahabat yang dirahmati Allah, ana berharap agar anda dapat memiliki kesepuluh-sepuluh sifat ini sebagai natijah atau musabab mengikuti sistem usrah dan tarbiyah yang telah dirancang itu:
  1. Mempunyai aqidah yang sejahtera.
  2. Beribadah dengan ibadah yang sahih.
  3. Mempunyai akhlak yang mantap.
  4. Sentiasa bermujahadah lawan nafsu.
  5. Mampu berdikari.
  6. Kuat tubuh badan.
  7. Sangat menjaga waktunya.
  8. Sentiasa teratur urusannya.
  9. Luas ilmu pengetahuannya.
  10. Bermanfaat kepada orang lain.
Semoga dengan aqidah yang sejahtera kita beriltizam dan berpegang dengan keyakinan yang betul, iaitu dengan aqidah ahli sunnah wal jama'ah. Dan dengan ibadah yang betul itu kita termasuk dari kalangan hamba Allah yang tidak menokok tambah dengan bid'ah yang sesat lagi menyesatkan, atau mengurangkannya. Iaitu dengan sentiasa bersumberkan al-Qur'an dan as-Sunnah. Dengan itu hubungan yang kuat dengan Allah itu dapat dibina di atas jalan yang lurus lagi suci.

Kemudian akhlak yang mantap itu akan jelas terserlah dan lahir di dalam keperibadian kita, sebagai manifestasi kekuatan hubungan dengan Allah. Lalu disempunakan sifat-sifat yang lainnya ada di dalam ciri yang telah disebutkan di atas sehingga ciri yang terakhir, iaitu kita ini sentiasa bermanfaat kepada orang lain.

Sahabatku yang dikasihi, sesungguhnya ana telah mempelajari satu perkara yang ana dapat sendiri daripada pengalaman yang sedikit ini. Bahawasanya orang yang kering hubungannya dengan Allah tidak akan berjaya mempaut hati orang untuk mengikuti jalan yang mulia ini sekaligus pasti akan gagal dalam usahanya membina generasi al-Qur'an yang unik.

Dan akhirnya, marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita agar kita bersama dapat memperbaiki diri kita pada ciri kelemahan kita di dalam sepuluh ciri tersebut agar ruh pejuang Islam yang tulen itu ada di dalam kita. Dan agar kita ini dapat melahirkan suatu generasi yang suci seperti mana generasi para sahabat terdahulu, bersama-sama. Insya Allah.

Daripada sahabatmu,
عمّار تقي الدين
-'Ammar Taqiyuddin-
Teruskan membaca!

Antara Matlamat dan Persediaan 01

|
Di bumi ini, siapakah yang tiada matlamat? Sudah tentu semua orang mempunyai matlamat hidup masing-masing. Paling tidakpun, manusia yang paling lemah atau dungu juga bermatlamat untuk melalui hidup dengan kesenangan dan keselesaan. Tetapi, disebabkan manusia ini merupakan makhluk yang mudah lupa maka ramai dari kalangan mereka yang tidak ingat tujuan utama mereka diciptakan. Dan disebabkan itu, marilah kita sama-sama merenung kembali tentang tujuan Allah menciptakan kita di muka bumi.

Allah SWT telah menyebut bahawa kita ini tidak lain dan tidak bukan dicipta untuk memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah dan ber'ibadah kepadaNya. Ini telah disebutkan di dalam ayatNya:
"Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaku."
[az-Zariyat, 51:56]

Dan ketika Allah ingin menciptakan Adam AS, bapa kepada segala manusia, Dia telah menyebut tentang penciptaan manusia kepada para malaikat:
"Dan (ingatlah) apabila Tuhanmu berkata kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku ingin menjadikan khalifah di muka bumi..."
[al-Baqarah, 2:30]

Dan sesungguhnya, matlamat apa yang lebih baik selain dari matlamat yang telah ditentukan oleh pencipta sekalian manusia itu sendiri? Bukankah Dia Yang Paling Mengetahui tentang segala apa yang diciptakannya? Bukankah seorang engineer yang mereka-bentuk kereta itu lebih arif tentang fungsi sesebuah kereta ciptaannya?

Maka pengetahuan dan kefahaman yang sebenar tentang matlamat hidup ini pasti akan mempengaruhi cara kehidupan kita dalam sehari-harian. Tidak dapat tidak, ia akan membentuk jalan kehidupan yang akan dilalui agar tercapainya dua matlamat utama tersebut.

Walaubagaimanapun, secara amnya, keadaan masyarakat dunia pada zaman sekarang telah jauh lari dari kehidupan bermatlamatkan dua matlamat tersebut. Bahkan ianya merupakan kehidupan yang setaraf dengan kehidupan haiwan dan binatang. Dengan rutin hariannya untuk; tidur, makan, beranak dan tidur lagi. Ini telah disebutkan oleh Allah di dalam ayat:
"Dan sesungguhnya, kami telah menyediakan neraja Jahannam bagi kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak memahami dengannya, dan mereka memunyai mata tetapi tidak melihat dengannya, dan telinga tetapi mereka tidak mendengar dengannya. Mereka itu umpama binatang ternakan bahkan lebih sesat lagi, mereka itu merupakan orang-orang yang lalai."
[al-A'raf, 7:179]

Hasilnya, peperangan dan huru-hara terjadi diseluruh pelusuk dunia. Golongan yang lebih berkuasa telah menindas dan menekan golongan yang lemah. Ini secara khususnya terjadi dalam dunia umat Islam di serata dunia. Palestin, Afghanistan, Chechnya, Pakistan, Iraq, Lebanon dan lain-lain negara Islam (dalam erti kata ramai penduduknya Islam) telah diserang oleh Barat dan sekutu jahatnya. Setelah habis satu dikerjakan mereka, beralih pula kepada yang lain. Tujuannya, melemahkan umat Islam di mana-mana sahaja mereka mampu.

[Bersambung...]
Teruskan membaca!

12 Ciri Muslim Cemerlang

|
Ciri-ciri yang diambil daripada ayat-ayat Allah SWT, dari surah al-Furqan, 25:61-77. Ciri-ciri hamba ar-Rahman ('ibadur Rahman):

  1. Rendah diri (tanpa menghilangkan rasa 'izzah walau sedikitpun terhadap Islam).
  2. Lapang dada, ringan dada.
  3. Mendirikan qiyamullayl.
  4. Takut neraka.
  5. Bersederhana di dalam amal. Tidak extreme.
  6. Mengajak manusia hanya dan semata-mata kepada Allah.
  7. Menjaga kehormatan dan tidak melakukan dosa-dosa besar, khususnya membunuh tanpa hak dan berzina.
  8. Bertaubat dan beramal soleh.
  9. Menjauhi perkara-perkara yang sia-sia.
  10. Mengingati Allah tidak seperti orang munafiq. Tidak buta dan pekak.
  11. Sentiasa mengharapkan (dan juga berusaha) agar keluarganya menjadi penyejuk mata baginya.
  12. Menjadi pemimpin bagi orang-orang yang beriman.

Moga kita mengambil iktibar dari ayat Allah ini. Dan moga kita sentiasa memperbaiki diri kita dari semasa ke semasa walaupun keadaan di sekeliling kita tidak begitu menggalakkan. Insya Allah. Penerangan panjang untuk setiap ciri akan disusuli dalam post-post yang akan datang dengan label ibadur Rahman.
Teruskan membaca!

Jauhi Perkara Merangsang

|
Tuntutan ke-5:
"Jauhkan diri saudara dari berlebihan minum kopi dan teh atau minuman-minuman yang meransang. Saudara jangan meminumnya kecuali kerana darurat dan saudara jangan merokok sama sekali."
[Hassan al-Banna, Risalah Ta'alim]

Kopi? Nescafe? Hmm, kedua-duanya sama sahaja. Ramai yang menyukainya dan ramai yang sudah ketagih dengannya. Paling kurang, dalam sehari mesti minum dua mug atau cawan nescafe. Lagi-lagi bila ianya mudah didapati dalam bentuk pek-pek segera, 3 in 1 dan sebagainya. Dengan hanya memasak air dan menaburkan serbuk nescafe tersebut seseorang boleh menikmati minuman berkafein ini.

Mungkin pada asalnya, tujuan meminum minuman yang sedemikian adalah untuk berjaga malam dan menyiapkan assignment tatkala zaman-zaman bujang dan student. Namun demikian, setelah berlalunya beberapa tempoh masanya ia menjadi suatu rutin seharian untuk meminum minuman yang sedemikian. Tidak boleh tidak pasti akan atau perlu minum dalam sehari.

Mungkin juga, setelah itu atau lebih baik sebelum itu lagi, ramai yang sudah mengetahui akan keburukan meminum kopi secara berlebihan. Tetapi apakan daya, bila sudah addicted apapun tidak kisah, "as long as I get my cup of nes, hehe!".

Imam Hassan al-Banna telah melarang ikhwan daripada meminum kopi kerana bahaya yang diabawanya, dari segi fizikal dan juga dari segi tabiat yang datang sesudah itu. Kerana ia mungkin menjadi kebiasaan yang melalaikan, boleh menghalang kebajikan atau boleh menghalang dari melakukan perkara-perkara yang wajib.

Besar kemungkinan, peminum-peminum tersebut akan menjadi tawanan kepada kebiasaan tersebut. Apabila berlaku keadaan-keadaan yang kritikal, dan pada masa tersebut bahan-bahan meransang tersebut tidak ada, ianya akan mendorong kepada pendirian yang tidak kukuh dan tidak syar'ie.

Pokoknya ialah, jangan membiasakannya bahkan mestilah biasa meinggalkannya dan itulah sebenarnya yang lebih baik.

Merokok pula, sememangnya jelas kemudharatan yang dibawanya. Cuma persoalan yang ingin ditimbulkan ialah, sejauh manakah kita ini mampu membendung gejala rokok ini di negera kita? Dan sejauh manakah kerajaan serius dalam menghadapi masalah ini?

Dan sebenarnya,
"Murabbi yang yang bijaksana tidak akan merasa lemah dari berusaha membuangkan kebiasaan yang membahayakan ini."
[Sa'eed Hawwa, Fi Afaqit Ta'alim]

Berapa banyak sudah harta umat Islam hangus dibelanjakan untuk membeli benda yang sia-isa ini?
Teruskan membaca!

Handwriting...

|
What Your Handwriting Says About You

You are a fairly energetic person. You know how do pace yourself, and you deal well with stress.

You are somewhat outgoing, but you're not a natural extrovert. You think first before you act. You tend to be independent, rational, and logical.

You are very detail oriented and meticulous. You are a careful thinker and a true intellectual.

You need a bit of space in your life, but you're not a recluse. You expect people to give you a small amount of privacy, and you respect their privacy as well.

You are somewhat traditional, but you are also open to change. You listen to your head and your heart.

You are a good communicator. You work hard to get your ideas across effectively.
Teruskan membaca!

Gambar Program Muar

|
Ana dah habis upload semua gambar (yang telah ditapis) program Bengkel Peracangan Strategik Persatuan Mahasiswa Islam UTM 2008. Kami jadi wakil kelab Iqra' ke program berkenaan. Program yang telah diadakan di Taman Herba Nasuha, Muor. Untuk ke web album ana, sila:
-->TEKAN!!!<--
Teruskan membaca!

Kemanisan Ibadah

|
Sedang ana berprogram di suatu tempat bernama Taman Herba Nasuha di Muar, suatu perkara terlintas di pemikiran ana. Dan terlintasnya perkara itu, menyebabkan diri ini kembali mengingati suatu kata-kata yang disampaikan oleh salah seorang ustazah ana di sekolah dahulu. Lalu, ana bertanya kepada seorang sahabat:

Ana: Apakah perkara yang dapat menyebabkan kita merasai kemanisan beribadah?
MN: Ikhlaskan diri ketika beribadah?
Ana: Hmm... Lagi?
MN: Er...
Ana: Keikhlasan tu adalah amalan hati, kalau kita cakap in terms of amalan fizikal?
MN: ...

Tiba-tiba seorang sahabat lagi join the conversation, dan memberikan jawapan yang dikehendaki:

MA: Tundukkan pandangan..?
Ana: Ya, betul!
MN: Hmm...

Seringkali di zaman sekolah ana, seorang ustazah tarbiyah sering mengingatkan kami tentang hal ini. Beliau sering mengatakan, "Kalau enta semua nak rasa kemanisan beribadah, mata tu enta kena jaga, tundukkan pandangan tu..." atau lebih kuranglah mafhumnya. Dan sebenarnya, sememangnya benar apa yang dikatakan oleh ustazah tersebut. Tatkala ana mengamalkan apa yang dipesan itu, ibadah-ibadah yag dilakukan, khususnya solat, bertambah kenikmatan dan kerehatan di dalamnya.

Mata ini merupakan panca indra yang Allah berikan kepada kita, dan ianya merupakan antara nikmat yang paling besar. Namun demikian, ia sentiasa di"take- for-granted". Maka apabila yang demikian itu terjadi, maka hasilnya kita tidak menjaga mata daripada melihat apa yang dilarang oleh Allah dari dilihat. Cuba bayangkan, andaikata setiap kali kita melihat sesuatu yang haram dilihat, bertambah satu titik hitam di dalam hati. Kalau dalam sehari tu, asyik dok pandang meliar, tidak menjaga mata, dan melihat apa yang boleh dan perlu, sudah pasti hati kita akan menjadi kotor. Bahkan sangat-sangat kotor. Kotor dengan kehitaman yang tertitik di dalam hati.

Bagaimana mungkin kita ini, merasai kemanisan beribadah sedang hati yang menghadap Allah itu adalah hati yang kotor lagi hitam? Bagaimana mungkin seseorang itu, merasai manisnya berdating dengan kekasihnya dengan muka dan baju yang kotor? Sudah pasti empunya kekotoran atau kehitaman itu terasa sendiri di dalam hati suatu ketidak-tenangan di dalam hati. Maka suka, ana mengajak para pembaca sekalian, marilah kita sama-sama membersihkan hati kita semoga kita merasai keseronokan dalam beribadah kepada Rabb yang juga merupakan kekasih kita. Ayuh!

"Dan katakanlah kepada orang-orang mu'min lelaki agar mereka menundukkan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka. Yang demikian itu, lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."
[an-Nur, 24:30]
Teruskan membaca!