Karseis dan Palestin

|
Pernah suatu masa baru-baru ini, saya telah menghadiri majlis bincang-bincang bersama duta-duta dari bermacam-macam EnjiO dan pihak Wai Bee di institusi pendidikan saya. Di dalam majlis tersebut, sebuah program mega dicadangkan agar ianya dapat dianjurkan secara bersama di antara semua EnjiO yang ada. Dan ianya pula dipimpini oleh pihak Jabatan Wai Bee. Cadangan asalnya ialah untuk mengadakan sebuah karnival yang berkaitan dengan seni-seni di dalam Islam atau nama ringkasnya (KarSeIs = Karseis).

Akan tetapi, melihatkan peluang yang ada di dalam wadah tersebut serta melihat kepada apa lebih penting saya pun mencadangkan agar tema seni-seni Islam itu diubah kepada tema Palestin. Pemikiran saya pada ketika itu sudah ligat membayang-bayang tentang konsep program tersebut dan apa faedah yang boleh diperolehi oleh pihak saya, EnjiO-EnjiO, dan masyarakat institusi itu secara amnya. Susunan kata-kata dibuat di dalam minda agar idea yang bernas ini dapat diterima oleh duta-duta dari badan-badan lain.

Saya telah menghuraikan secara amnya tentang apa kepentingannya kita membawa isu ini, dan ianya adalah seperti berikut:
  1. Memberi kesedaran kepada masyarakat institut tentang situasi sebenar yang berlaku di Palestin dan apa cara yang boleh kita bantu.
  2. Mewujudkan perasaan tanggungjawab dan saling mengambil berat sesama umat Islam, walaupun dengan mereka yang berada di luar Malaysia.
  3. Mengumpul dan menjana dana untuk disumbangkan kepada pihak-pihak yang tertindas di bumi Palestin.
  4. Memberi kesedaran tentang kepentingan memahami Islam dengan kefahaman yang tulen, agar kita dapat mengelak daripada ditimpa situasi yang sama di bumi yang tercinta ini.
  5. Dan yang terakhir, mewujudkan hubungan diplomasi di antara badan-badan di dalam institut supaya wujudnya networking yang baik sesudah itu.

Idea-idea yang bernas ini telah dipersetujui oleh pihak Wai Bee dan juga telah diterima secara separa oleh seorang rakan dari EnjiO Saudara Baru (SB). Rakan inilah juga yang menambah idea saya berkaitan dengan isu kepentingan penerapan kefahaman Islam kepada masyarakat kita.

Walaubagaimanapun, tiba-tiba ada seorang hamba Allah yang merupakan duta dari EnjiO Rise With Islam (Riwi) yang mencadangkan agar konsep program itu diasingkan. Program Palestin buat lain dan program Karseis di pula dibuat lain. Beliau juga telah menyatakan juga akan keberatan pilihannya adalah lebih kepada Karseis kerana itu merupakan satu isu yang penting lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat institut itu sendiri.

Hujjah yang diberikan adalah kerana Karseis itu lebih sesuai jika dilihat dengan suasana tempatan institut. Dan isu Palestin ini membawa mesej yang berlainan dengan mesej yang nak dibawa dalam Karseis. Andaikata program itu (Palestin) hendak dibuat juga, mungkin ianya boleh dibuat oleh EnjiO saya (Pertubuhan 'Alaq, PA) dan pihak lain akan menyokong 100% (tetapi tidak dinyatakan bagaimana, maka saya pun tidaklah tahu caranya).

Makhluk yang bernama "Kehairanan" itu ada juga lalu di hati ini, tetapi saya tidak membuatkan ia jelas terpampang di wajah saya. Saya mungkin sedikit-sebanyak telah mengaggak bahawa hal ini akan berlaku, jadi simptom-simptom terkejut itu tidak langsung wujud di muka ini. Ketika saya baru mula mendengar pendapat duta Riwi, saya telah mengeluarkan satu persoalan di dalam minda ini, "Mengapa isu hiburan itu lagi penting ya daripada isu Palestin dan mesejnya?".

Owh, rupa-rupanya inilah dia contoh yang nyata bahawa tidak semua orang dibesarkan dan dibentuk agar kefahaman itulah yang utama. Dan juga agar kefahaman itu, memberi kejelasan kepada kita terhadap tindakan kita, yang manakah yang awla (utama) dan yang mana yang kurang awlanya (Pokcik suka bab-bab ni). Maka, sedikit sebanyak saya lebih menghayati mengapa Hassan al-Banna itu meletakkan al-Fahmu itu sebagai rukun pertama dalam 10 rukun ba'iahnya.

No comments: