Tabuk: Kisah 'Ali Abi Talib

|
Sedang diri ini berada bersama ikhwah penggerak KRJ Johor, ibu yang tersayang telah menge'call'. Dan keadaan telah menjadikan saya teringat kepada suatu kisah pada zaman RasuluLlah (SAW). Kisah ini terjadi sebelum Ghazwah Tabuk berlaku.

Imbasan kembali peristiwa sebelum peperangan Tabuk:
RasuluLlah (SAW) telah menghantar al-Harith bin Amir al-Uzdi sebagai suatu perutusan dari Rasul kepada pembesar Rom, lalu utusan tersebut dibunuh. Kemudiannya RasuluLlah menghantar satu sariyyah yang dipimpin oleh Zayd ibn Harithah untuk menuntut bela di atas kekejaman yang berlaku. Lalu suatu pertempuran yang dasyat telah berlaku di mana peperangan tersebut bernama perang Mu'tah. Walaubagaimanapun, tiada keputusan yang jelas di dalam perang tersebut; tentera Islam tidak menang sepenuhnya dan tentera kuffar Rom juga tidak kalah sepenuhnya. Namun disebabkan kegerunan yang timbul dalam diri orang-orang kuffar, hasil daripada peperangan tersebut telah menyebabkan mereka membuat persediaan yang lebih hebat untuk menghapuskan satu wilayah yang mungkin bakal mengancam tamadunnya. Lalu terjadilah peperangan Tabuk.

Beberapa perkara yang terjadi ketika persiapaan:
Abu Bakar telah datang kepada RasuluLlah (SAW) lalu diserahkan kepada Baginda seluruh hartanya. Apabila ditanya apakah yang tinggal buatnya dan keluarganya; beliau menjawab "Allah dan Rasul". 'Umar al-Khattab yang menyangka dirinya telah melebihi Abu Bakar dalam infaq telah menyerahkan separuh dari hartanya. Lalu apabila dia mendapati Abu Bakar telah menyerahkan keseluruhan dari hartanya, dan merasai kesedihan kerana Abu Bakar telah mendahuluinya lagi dalam beramal. 'Ali ibn Abu Talib telah disuruh untuk tinggal menjaga keluarganya.

Kisah 'Ali:
Walaupun 'Ali merupakan salah seorang dari pemuda yang hebat dan tangkas di dalam pertempuran, beliau telah disuruh oleh RasuluLlah (SAW) untuk tinggal dan menjaga keluarga. Lalu kaum Munafiqin telah mengeluarkan kata-kata yang pedas lagi tajam yang menyebabkan 'Ali terasa dirinya dipersendakan. Disebabkan itu, beliau telah meminta kepada RasuluLlah (SAW) untuk mengikuti rombongan tentera Muslimin untuk menghadapi tentera Rom. Tetapi RasuluLlah (SAW) telah memberikan satu jawapan yang sangat mulia buat 'Ali:
"Tidakkah engkai rela untuk duduk di bawahku sperti kedudukan Harun di sisi Musa? Cuma selepasku ini tidak ada nabi."
'Ibar dan pengajaran kisah 'Ali:
Tersepit di antara dua perkara mulia, Ali telah memilih jalan yang diperintahkan oleh RasuluLlah untuk diikuti. Keluar berperang dan berjihad di jalan Allah adalah suatu perkara yang sangat mulia yang merupakan bayaran kita kepada Allah agar kita diselamatkan daripada api Neraka, dan 'Ali sangat berkehendak untuk keluar bersama orang Mu'min yang lain. Membuat apa yang RasuluLlah (SAW) perintahkan juga adalah satu kewajipan yang tidak dapat disangkal lagi, dan 'Ali menurut perintah tersebut sehingga diperli atau diejek oleh Munafiqin. Tersepitnya dia menyebabkan dia memilih jalan yang lebih utama.

Jadi kita juga perlu melakukan demikian...
Teruskan membaca!

Bermujahadah Lawan Nafsu

|

--
#4
مجاهدا لنفسه
Islam adalah agama yang ideal. Dan ia menuntut keidealan daripada penganutnya. Tetapi ia tidak serupa macam yang kita belajar dalam ilmu sains atau ilmu aplikasi sains (engineering), keidealan itu datangnya dengan practicality. Ini lebih-lebih lagi dengan wahyu yang Allah turunkan melalui Nabi Muhammad (SAW) sama ada di dalam perbuatannya, kata-katanya atau apa-apa jua perkara yang disandarkan kepada Baginda (SAW).

"Dan tidaklah dia (Muhammad) berkata sesuatu menurut hawa nafsunya. Sesungghunya dia itu tidak lain hanya mendapat wahyu yang diwahyukan (kepadanya)"
[an-Najm, 53:3-4]

Berbezanya agama ini dengan agama lain adalah kerana ia mengiktiraf bahawa manusia itu mempunyai keinginan dan fitrah yang tertentu yang telah difitrahkan ke atasnya. Lalu diajarkan kepada mereka tentang cara atau jalan untuk membentuk nafsu itu secara praktikal sehinggakan ianya menjadi nafsul mutma'innah yang redhai oleh Tuhan penciptanya. Namun ini tidak hanya dan semata-mata kata-kata atau tulisan yang ingin berbangga dengan agama ini kerana deen ini merupakan deen penulis, tetapi contoh-contoh yang jelas boleh didapati dan diperoleh daripada al-Qur'an yang agung. Dan hanya daripada suatu yang jelas lagi nyata izzah itu datang, bukannya dari legend atau hikayat-hikayat yang tidak ada hujung pangkalnya.

Seperti yang saya sebutkan di atas, Islam turut mengajar dengan cara yang praktikal tentang cara-cara membentuk nafsu itu menjadi nafsul mutma'innah. Tetapi ini memerlukan pembaca semua serta seluruh umat Islam kembali meneliti dan cuba memahami sunnah RasuluLlah (SAW) di dalam keseluruhan aspek kehidupannya. Tidak boleh tidak umat Islam perlu mengkaji dan mengkaji dan mengkaji sehingga memahami.

Namun saya merasakan, adalah sangat susah bermujahadah melawan nafsu kerana ia adalah suatu perang atau perjuangan yang berterusan. Dan ia tidak akan berhenti sejenak walau sesaat sekalipun untuk memberikan kepada kita kerehatan daripada peperangan tersebut. Kerana nafsu adalah sesuatu yang sebati dengan jiwa kita, dan syaitan pula begitu rajin. Tidak pula lupa kepada janji Iblis bahawa:
"(Iblis) menjawab: Disebabkan Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian pasti aku mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan dari mereka bersyukur."
[al-A'raf, 7:16-17]

Tetapi dalam janjinya itu, Iblis ada menyebut pengecualian kepada orang-orang yang terlepas daripada godaan keturunannya itu:

"Kecuali hamba-hambaMu (Allah) yang ikhlas dari kalangan mereka."
[al-Hijr, 15:40]

Itu secara konsepnya, nak terlepas dari godaan syaitan maka kita kena termasuk dalam golongan yang ikhlas kepada Tuhan Yang Maha Agung. Kalau tak, pasti kita akan termasuk orang-orang yang rugi.

Seorang saudara yang dikasihi pernah berkongsi dengan saya berkaitan dengan bermujahadah melawan nafsu. Dalam tempoh 3 hari; Observe, Restrain and Endeavour. Observe: Perhatikan apa yang kita nak bermujahada melawannya yang ada pada kita. Restrain: Kawal diri kita supaya tak melakukan apa yang kita target untuk tahan atau melakukan apa yang kita target untuk buat. Endeavour: Terus menerus melaksanakan dalam setiap tempoh 3 hari yang berikutnya sehingga akhir hayat.

Simple ain't it not? Tetapi berapa ramai yang survive pada zaman sekarang ni?

--
Artikel-artikel berkaitan:
Teruskan membaca!

Pemuda dan Kalimah Tayyibah

|
. . . . .

"Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah tayyibah seperti pohon yang baik? (Iaitu) akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. Dan perumpamaan kalimah khabithah seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat (tegak) sedikitpun. Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh di dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki."
[Ibrahim, 14: 24-27]

Pemuda adalah golongan syabbab yang mengalir di dalam darahnya semangat yang membara untuk mencapai sesuatu yang diyakininya mulia. Selain mati syahid, cita-cita (dunia) apakah yang lebih baik dan agung dari mengharapkan dunia dan seisinya menerima kalimah Allah sebagai kalimah tertinggi? Tidak, tidak ada langsung cita-cita selain dari itu yang lebih mulia.

Dan disebabkan kemuliaan cita-cita ini, para syabbab pun menggerakkan tulang empat keratnya untuk mencapai apa yang diharapkan tersebut. Lalu usaha-usaha dilakukan, tenaga dicurahkan dan keringat dititiskan. Tetapi buat ramai orang dari golongan ini, ramai dari kalangan mereka yang suka dan bersikap ingin cepat melihat hasil dan hasilnya tindakan yang terhasil atau ideologi yang dipegang adalah ideologi perubahan yang cepat serta revolusi yang segera sedang jalannya masih lagi sangat panjang dan jauh perjalanannya.

Perumpamaan yang Allah berikan merupakan suatu perumpamaan yang agung! Dia mengatakan bahawa kalimah tayyibah (طيبة) itu umpama pohon yang tayyibah, yang akarnya kukuh dan batangnya munjulang ke langit. Ibn 'Abbas mengatakan bahawa kalimah tayyibah ini merupakan kalimah Laa ilaha illa Llah (لا إله إلا الله), dan diketahui apabila kalimah ini disebut ia datang dengan implikasinya sekali dan tuntutan-tuntutannya. Ia bukan sahaja kalimah yang disebut dalam bentuk lafzi sahaja dan semata-mata.

Akar yang mendalam menggambarkan betapa dalamnya keimanan yang tertanam di dalam hatinya sehinggakan ianya mampu mendapatkan makanan serta air walau dalam keadaan macamana sekalipun keadaan di atas tanah. Akar yang mendalam juga membantunya dalam mengukuhkan kedudukannya terutama apabila pohon tersebut dilewati angin ribut yang kuat lagi kencang, atau apa-apa sahaja daya yang menolaknya.

Dan akarnya yang mendalam datang pula dengan batang yang menjulang ke langit. Lalu tumbuh dari batangnya beratus-ratus ranting yang tumbuh daripada tiap-tiap satunya buah yang enak lagi sedap dimakan. Allah menyebut; "Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin tuhannya". Saya mengibaratkan batang tersebut sebagai aqidah yang kukuh, ranting-ranting tersebut sebagai amal dan buah sebagai hasil dari amal tersebut. Alangkah indahnya perumpamaan yang Allah berikan ini, buat orang-orang yang berfikir.

Aqidah kukuh yang terbina di atas keimanan yang mendalam akan menghasilkan amal yang berterusan dan hasilnya dirasai oleh semua di sekelilingnya sehinggakan ia juga menumbuhkan pohon-pohon yang seiring dengannya dan serupa dengannya.

Tetapi! Tetapi semua ini hanya akan berlaku setelah pohon tersebut ditanam dengan dengan benih keimanan yang pertama. Kemudiannya ia dipelihara dengan baiknya dengan disirami air, memberikan baja dan mendedahkan kepada cahaya matahari mengikut keperluannya. Hari demi hari dan proses demi proses dilakukan terhadap anak benih itu yang kemudiannya tumbuh menjadi anak pokok. Lalu ia membesar dan membesar menjadi sebuah pohon yang dewasa dan matang.

Lalang-lalang dan pohon-pohon "jahiliyyah" atau semak-samun ditebas dan sekeliling anak pokok tersebut dipastikan bersih dari sebarang lalang dan tumbuhan-tumbuhan "jahiliyyah" tersebut. Seandainya tidak dibersihkan, pembangunan dan pertumbuhan anak pokok-berguna tersebut mungkin terganggu atau lagi teruk, terbantut pertumbuhannya ke arah menjadi dewasa. Tanahnya pula digemburkan agar air dan udara mudah meresap ke dalam tanah dan bermacam-macam lagi tindakan yang perlu dibuat.

Buat buahnya pula, Hassan al-Banna pernah mengingatkan dengan keras dan tegas kepada ikhwan yang dirahmati Allah bahawa jangan dipetik buah sebelum ianya masak. Seandainya berlaku juga hal yang demikian, maka buah tersebut akan dibazirkan dan pemetiknya pula tidak mendapat manfaat daripada buah itu bahkan mungkin merasai kepahitan dan kemasaman sahaja.

Jadi akhirnya, perumpamaan yang sangat cantik ini memberikan kepada kita tiga kesimpulan yang hebat:
  1. Iman yang mendalam; suatu perkara asas yang diperlukan oleh setiap individu yang ingin dijadikan atau menjadikan dirinya sebagai bibit kebangkitan Islam. Tanpa keimanan yang mendalam cita-cita akan berubah menjadi angan-angan yang tidak berpijak di bumi nyata.
  2. Pembentukan yang rapi; adalah proses yang perlu dilalui sebelum mencapai tahap kematangan. Tanpa melalui pembentukan yang rapi seseorang itu akan cacat, dan bantut, bahkan mungkin membahayakan dirinya serta jamaah (dikhuatiri berlaku penyelewangan).
  3. Amal yang berterusan; akan memastikan bahawa iman itu sentiasa diperbaharui, manfaat sentiasa dicurahkan dan istiqamah itu wujud dalam individu-individu tersebut. Bahkan ia juga akan mempercepatkan lagi sampai kepada matlamat tanpa mengabaikan soal langkah yang harus dilalui terlebih dahulu.
Moga Allah mengurniakan kepada kita taufiq dan hidayahNya, insya Allah!
Teruskan membaca!

Bisikan Syahadah Di Ringlet

|
Suatu perkongsian yang sangat menarik oleh bro Dhany Sarip. So, saje copy-paste dan letak kat sini supaya boleh dikongsikan bersama rakan-rakan, kawan-kawan dan sahabat-sahabat yang tak kenal Dhany ni. Sebuah kisah benar dari pengalamannya baru-baru ni, yang telah diolah dengan bahasa yang indah lagi menusuk jiwa. Jadi, falyatafadhal...

. . . . . . . .

Bisikan Syahadah Di Ringlet

Oleh: Dini Syarif

Aku mengerling ke arah jam di pergelangan tangan. Pukul 6.00 petang. Hari tampak makin kelam, siang kian berangkat pergi. Kujeling Auzan yang begitu fokus memandu. Saiful di kerusi belakang asyik memerhati gunung-ganang yang menggamit pandangan. Rabbani dan Rahman pula kelihatan begitu letih. Keadaan di Kuala Lumpur amat sesak, serasa perjalanan ke Cameron Highland ini begitu memenatkan.

Inilah kali pertama aku mendaki kawasan yang cukup dingin ini. Bayu yang mengelus memang menyegarkan, amat mendamaikan. Namun singgahanku ini bukanlah sekadar liburan, tetapi kupunya satu misi agung. MengIslamkan Amar Thapa. Akalku segera mengenang apabila lelaki Nepal itu menghubungiku Jumaat yang sudah. Dia menyatakan keinginan untuk memeluk Islam. Katanya dia kini berkerja di Cameron Highland.

Cameron Highland? Letaknya jauh beratus batu. Sedangkan harga petrol naik mendadak.

Lamunanku terhenti. Kereta yang berselisih membunyikan hon. Di batu penanda tertera jelas jarak menuju Ringlet tinggal lagi 20 kilometer. Aku mengeluh panjang. Hujung minggu sebegini sewajarnya aku luangkan bersama famili. Inilah detik rehatku yang paling tepat. Selaku aktivis, waktu kerjaku bukan hanya sembilan pagi hingga enam petang. Adakalanya hingga larut malam. Silap-silap, bermalam di pejabat atau mungkin di merata-rata tempat.

Berjalan ke sini sana seakan-akan jadi suatu rutin. Termasuk apa yang aku alami sekarang, berjaulah beratus kilometer ke kawasan pedalaman – demi mengIslamkan Amar! Entah-entah, Amar ini masih ragu-ragu, lalu tiba-tiba dia enggan memeluk Islam. Buang masa saja!

Astaghfirullah, cepat-cepatku beristighfar. Ah! Lelaki itu cukup bernilai; walau hanya dia seorang. PengIslamannya adalah satu rahmat. Namun, seandainya dia menolak Islam, itu dikira sebagai suatu muhasabah. Allah Ta'ala Maha Penentu. Kita buat kerja kita, selebihnya serah pada Tuhan. Hanya Allah Ta'ala yang berkuasa memberi petunjuk, sedangkan kita hanya menunjuk ajar. Usah riak dan angkuh, seakan-akan kita yang melempar hidayah. Cukup hanya kita pimpin sedaya mampu, lalu kita bergantung pada Rabb.

Ya Allah! Bukakanlah pintu hati Amar agar dia menerima Islam.

. . . . . . . .

Telefon bimbit kucapai, langsung tujuh digit didail. Amar cepat-cepat menjawab. Suaranya ceria. Mungkin sudah tidak mampu membendung sabar. "Saya ada di depan Bank CIMB, kita jumpa di sana."

Wira meluncur laju. Auzan sibuk mencari tapak parkir yang sesuai. Sangkaanku tentang pekan Ringlet benar-benar meleset. Tercetus di minda; kawasan ini kampung yang tidak membangun, desa yang mundur. Telahanku salah. Walaupun tidak begitu pesat, bandar ini tetap meriah. Cuacanya pula agak sederhana, tidak terlalu sejuk. Mungkin tidak sesejuk Tanah Rata yang mendekati puncak.

Kedengaran jelas suara kaum Cina berpadu mengiramakan koir di sebuah dewan agama. Kereta diletak berhampiran. Aku turun terlebih dahulu, langsung berseloroh, "Antum turun sekali ya. Takutlah ana kena culik ke nanti." Sambil menapak perlahan, aku tertinjau-tinjau. Bagaimana agaknya rupa Amar? Kata Saiful, bangsa Nepal ini warna kulitnya cerah dan bermata sepet.

Ada tiga kelibat berseluar ala militari, lagaknya seperti menanti seseorang. Dua daripadanya macam sebangsa, manakala seorang lagi kulitnya sedikit gelap persis orang India. Sengaja kudail nombor Amar, ingin menduga apakah dia salah seorang dari mereka.

Tangannya giat menyeluk poket mencapai telefon. Sah, pemuda tinggi kurus itu ialah Amar! Aku menghampiri mereka. Masing-masing tersenyum lebar. Tangan dihulur, hangat terasa. Moga pertemuan kali pertama ini mencipta sejarah pengIslamanmu Amar! Empat yang lain turut bersalam erat. Lalu mereka bertiga kuajak duduk di kedai makan yang berdekatan.

Sambil berjalan, kubuka kantung mesej selular. Mesej ringkas dari Pakcik Muhammad dibaca berulang kali. "Terangkan rukun Islam kepada dia, fahamkan dia makna dua kalimah syahadah yang akan dia ucapkan. Jika dia mahu, maka terima syahadahnya. Kalau boleh biar ada orang Islam di sana yang saksikan dan temankan dia untuk buat pendaftaran di Jabatan Agama Islam Pahang."

Proses yang pertama bagiku agak mudah. Cukup sekadar menerangkan perkara-perkara asas kepercayaan Islam. Namun tindakan susulan itu yang agak merisaukan. Rasanya agak sukar mengenalpasti orang Islam yang sudi menolong. Tidak ramai orang Melayu yang sanggup untuk membantu dalam hal sebegini, apalagi Amar ialah rakyat asing. Komuniti Muslim di sini juga tidak begitu besar. Dari mana agaknya pertolongan itu akan datang?

Allah Ta'ala. Aku ada Tuhan di sisi. Bantuan dari Tuhan pasti akan datang mengiringi.

Tidak mengapa, urusan teknikal itu biar diketepikan dulu. Paling penting, akidah pemuda ini mesti diluruskan.

. . . . . . . .

"Saya Shob Bahadur, dan ini Joy Dass dari Bangladesh." Pemuda bertubuh tegap itu memperkenalkan diri. Joy tersipu-sipu malu. Bahasa Melayu Shob agak pelat, tapi masih boleh difahami. Dia duduk bersetentang dengan Amar yang sedari tadi tunduk. Mungkin rasa takut membalut hati. Bertukar agama bukanlah perkara main-main. Ini melibatkan hidup dan mati!

Aku turut rasa gentar. Inilah pengalaman sulungku mensyahadahkan bakal saudara baru. Jantung berdetak kencang. Auzan, Saiful dan Rahman memandang tepat ke arahku. Suasana senyap sunyi. Rabbani pula gigih mencari syot yang menarik untuk dirakam. Syukurilllah, kehadiran mereka berempat benar-benar menguatkan keyakinanku.

Aku mendehem, langsung membuka bicara; "Baiklah, saya dengar Amar ingin memeluk Islam. Shob pun berminat juga ke?" Sengaja kusenyum ramah, ingin meleraikan tembok yang masih meninggi di antara kami. Amar dan Shob mengangguk serentak.

Aku menambah ringkas, "Joy pula?". Joy hanya tersengih, Shob membalas dalam nada berbisik. "Joy tak berminat. Lagipun dia amat susah untuk menerima Islam setelah diceritakan." Rupanya bukan satu, tapi ada dua pemuda berharga yang jiwanya sedang terbuka luas. Sementara pemuda yang ketiga masih hatinya masih terkatup rapat.

Moga-moga Allah Ta'ala menerangi kalbumu dengan nur Iman, Joy!

"Jadi boleh saya tahu kenapa Amar dan Shob ingin memeluk Islam." Soalan ini sengaja kutanya, demi menduga apakah sebab mereka ingin menganut agama tauhid ini. Lalu Amar menjawab tersekat-sekat, "Kami ingin masuk Islam sejak berada di Nepal, tapi di sana agak susah. Sebab orang Islam sangat sedikit. Jadi, kami mahu ambil peluang di Malaysia untuk masuk Islam." Shob mengiyakan jawapan Amar.

Syukur dan hamdallah bersatu. Rupa-rupanya hasrat untuk memeluk Islam sudah lama berbuah di jiwa Amar dan Shob. Cuma perlu diserikan dengan didikan agar buahnya ranum dan harum. Lalu dengan izin Allah Azzawajalla, buah itu boleh dipetik, menyerikan lagi taman-taman orang yang beriman. Semoga niat kudus itu tetap mekar mewangi, hingga hela nafas yang terakhir.

Meyakini keinginan Amar dan Shob yang membuak-buak, aku mula bersyarah khutbah syahadah. Tidak panjang, cukup hanya menjelaskan pokok ajaran Islam. "Apa yang membezakan Islam dengan agama lain ialah konsep ketuhanan. Di dalam Islam, kami hanya percaya dan yakin akan kewujudkan satu Tuhan, iaitu Allah Ta'ala. Segala apa yang kami lakukan di bumi ini hanyalah untuk Allah Ta'ala, sebagai Pencipta manusia dan juga alam semesta."

Amar dan Shob menyengguk. Joy sekadar memerhati dari jauh.

"Selain itu, kami juga percaya dan yakin bahawa Nabi Muhamad Solallahu 'alaihi wassalam ialah pesuruh Allah Ta'ala. Dia merupakan Nabi Allah Ta'ala." Aku berhenti di situ. Berehat sejenak selepas intipati syahadah dirungkai secara ringkas.

"Amar dan Shob faham?" Sengaja kupanggil nama mereka sebagai ganti nama, agar keadaan jadi lebih mesra. Kesuraman ini mesti dilenyapkan.

Amar dan Shob lalu berbual dalam bahasa yang tidak kufahami. Mungkin keduanya berbincang tentang apa yang aku katakan tadi. Joy pula sibuk bertanya Rahman; sambil merujuk pada terjemahan Al-Quran Bahasa Inggeris yang turut dibawa bersama. Kebetulan, beberapa naskhah kitab yang dibawa Rabbani amat membantu sebagai bahan rujukan dan sokongan.

Tiba-tiba Shob menjawab "Saya faham, dia tak fahamlah." Sambil sedikit mendongak ke arah Amar. "Dia susah faham Bahasa Melayu, kena cakap perlahan-lahan."

Baru kutahu; Shob pandai berbahasa Melayu, tetapi tidak mampu berbahasa Inggeris. Amar pula mampu berbahasa Inggeris, namun sukar memahami Bahasa Melayu. Sedangkan Joy gagal menguasai kedua-dua bahasa, hanya faham sikit-sikit lantaran hijrahnya ke tanahair amat mutakhir. Aku tersenyum sendiri, atau mungkin kalamku terlalu cepat!

Lalu kusampaikan penerangan secara dwibahasa; selepasku berbahasa Melayu, aku terjemahkan dalam Bahasa Inggeris bagi meraikan kedua-dua lelaki ini. Kefahaman Amar dan Shob nampaknya semakin jelas. Tapi dari riak paras mereka, tampak seolah-olah mereka menyembunyikan sesuatu. Ada yang benda yang membuku di hati, namun tidak mahu diluahkan.

Seraya aku menambah, "Islam agama yang mudah. Pengamalan Islam boleh dilaksanakan secara berperingkat. Seperti solat. Saudara baru seperti kalian sudah pasti tidak mahir bersolat. Maka, kalian tidak wajib bersolat sehingga Amar dan Shob tahu bagaimana untuk bersolat. Begitu juga membaca Al-Quran. InsyaAllah, kalian akan didatangi seorang ustaz untuk mengajarkan kaifiat solat, tilawah Al-Quran serta lain-lain ibadah yang wajib dilakukan." Kuucapkan panjang lebar.

Auzan lantas menambah, "Paling penting, hati kita semua. Jika kita betul-betul ikhlas ingin menganut Islam, maka kita belajar perlahan-lahan. Solat dan puasa itu wajib kalian lakukan kelak, tapi pastikan kalian terlebih dahulu memahami dan menghadami ajaran Islam yang suci." Teh 'O' suam yang masih bersisa dalam gelas diteguknya penuh berhati-hati.

Amar, Shob dan Joy mengangguk lagi.

Kumula memancing perlahan-lahan, "Asalkan Amar dan Shob percaya dan yakin bahawa Tuhan itu satu, dan Nabi Muhammad Sollahu 'alaihi wassalam itu pesuruh Allah Ta'ala, maka kalian sudah meyakini Islam itu agama yang benar. Tentang solat, tadarus Al-Quran dan puasa, itu bisa dipelajari kemudian. Perlahan-lahan, sampai kalian menguasai ilmu-ilmu itu."

Semua diam. Lima belas minit yang sudah azan Maghrib berkumandang di corong radio. Diikuti alunan irama nasyid kontemporari. Lalu kini Mulan Jameela mendendangkan lagu 'Makhluk Tuhan Paling Seksi'. Tidak. Bagiku, dakwah sedikit rumit untuk berlangsung dalam bi'ah sebegini. Langsung kudekati pekerja kedai itu dan memohon izin untuk mengubah saluran.

Cepat-cepat dia mematikan radio. Sungguh, dia amat memahami. Moga Allah Azzawajalla membalas jasa murninya!

Amar mengangkat wajah, mengajukan soalan, "Bagaimana untuk jadi Muslim yang baik?"

Maha Suci Allah, pemuda ini begitu tulus! Dia bukan hanya mahu menganut Islam semata-mata, seperti majoriti Muslim serata benua. Tetapi dia ingin menjadi Muslim yang soleh. Pertanyaannya menampar hatiku halus. Sepanjang 23 tahun dihidupkan di muka bumi Tuhan, jarang sekali, aku menyoalku diriku sendiri; apakah aku sendiri Muslim yang benar-benar bertaqwa? Mukmin yang selayaknya dijanjikan rahmat dan maghfirah dari Tuhan.

Ya Allah, dari-Mu aku datang dan pada-Mu aku pasti kembali.

Aku mencari jawapan serata benak. "Untuk jadi Muslim yang baik, pertamanya perlu meyakini keesaan Allah Ta'ala sebagai Rabb sekalian alam. Juga yakin bahawa Nabi Muhamad Solallahu 'alaihi wassalam. Seterusnya mengimani rukun-rukun iman yakni yakin dengan wujudnya malaikat, nabi-nabi Allah Azzawajalla, kitab-kitab Tuhan, hari kiamat juga qada' dan qadar. Semua itu akan dipelajari nanti." Sengaja kutenangkan hati mereka dengan ayat penutup ini.

"Selain itu, kita mesti lakukan pada yang disuruh oleh Allah Ta'ala. Rukun Islam yang lima wajib dipatuhi. Syahadah yang akan saya ajar sebentar lagi, bersolat fardhu, puasa dalam masa sebulan." Dua lagi rukun tidakku tekankan sepenuhnya. Khuatir Amar dan Shob jadi makin keliru. Proses tarbiah sepatutnya berjalan secara berperingkat. Hikayat sirah Nabawiyah sudah membuktikan!

Satu soalan yang sudah kuduga terpacul dari bibir nipis Shob, "Tentang 'potong', untuk masuk Islam memang terus kena 'potong' ke?" Rabbani dan Saiful serentak tersenyum manis. Rahman terpinga-pinga. Aku turut tersengih. Selama ini aku hanya menadah telinga dari para penceramah yang mengkisahkan bahawa berkhatan ialah antara punca yang menghalang cita-cita untuk diIslamkan. Lazimnya isu ini jadi bahan lawak bagi menggamatkan suasana kuliah, dan jarang sekali untuk kita fikirkan sungguh-sungguh. Kalaulah kita berada di tempat mereka.

Kujejak balasan yang sarat hikmah. "Bila Amar dan Shob betul-betul bersedia untuk 'potong', maka 'potong'lah. Jika masih belum bersedia untuk di'potong', tak bermakna kalian bukan Muslim yang baik. Fahami isi ajaran Islam dahulu, itu jauh lebih utama." Lirik mataku dan Shob berlaga sejeda. Dapatku baca riak kelegaan di wajahnya. Langsung Auzan memperincikan kaedah berkhatan berserta sebab disyariatkan amalan ini. Ibadah yang sekian lama wujud, hatta sebelum era kenabian Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam.

. . . . . . . .

Jarum jam tepat menuju angka lapan dan enam. Dari jam tujuh santak lapan setengah malam, butir bicara kami tidak putus-putus. Bermacam pertanyaan ditimbulkan, lalu aku berikhtiar menyelesaikan seboleh mampu. Auzan, Rahman, Saiful dan Rabbani yang setia teguh di sisi, banyak membantuku merungkai persoalan. Terima kasih, wahai teman seperjuangan!

Waktu Isyak kian menjengah. Kukira inilah detik terbaik bagi untukku mensyahadahkan kedua-dua pemuda ini. Tidak semena-mena pengalaman bersyahadah tokoh pendakwah, Lim Joo Soon terbit di ufuk minda. Ujar beliau melalui ceramahnya; beliau hanya berjaya bersyahadah selepas setengah jam! Bukan angkara sendiri, tetapi rencana pegawai yang mengIslamkan. Masakan, kalimah yang dilafazkan diharap begitu sempurna tajwidnya! Mana mungkin kepelatan ini dapat dibuang di kala genting sebegini, detik meluruskan akidah ke Siratul Mustakim.

Menurut hematku, bunyi yang sudah menyerupai syahadatain sudah cukup memadai. Tunjuk satu-satu, beri peluang seluas-luasnya untuk dia menurut apa yang diajarkan. Diikuti dengan melafazkan terjemahan kalimah syahadah menerusi bahasa yang mudah difahami.

Ya Rabb, permudahkanlah urusanku ini. Lembutkanlah hati Amar dan Shob untuk menerima Islam! Aku berdehem beberapa kali mencari kekuatan, "Amar dan Shob benar-benar percaya dan yakin bahawa Tuhan itu satu? Iaitu Allah Ta'ala yang menciptakan manusia dan segenap alam cakerawala?" Anak mata Amar dan Shob kupandang tepat bergilir-gilir.

Dua-dua mengangguk.

Langsung kutambah, "Amar dan Shob juga percaya dan yakin bahawa Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam itu pesuruh Allah Azzawajalla?"

Dua-dua mengangguk.

Tawakal setinggi angkasa kusandarkan pada Tuhan, "Alhamdulillah, hakikatnya kepercayaan Amar dan Shob serupa dengan kepercayaan orang Islam. Kalian begitu hampir dengan Islam. Apa pun, untuk menjadi Muslim, kalian perlu bersyahadah. Mudah saja, saya akan ajarkan perlahan-lahan. Boleh?" Jantung berdegup deras menanti reaksi.

Dua-dua mengangguk.

Tangisku hampir-hampir terhambur. Sungguh, penantian itu suatu penderitaan. Namun penghujungnya indah andai sabar jadi perisai. Tanpa alpa pada kehendak dan kuasa Tuhan!

"Baik, biar saya ajar Amar dahulu." Tanganku erat menyalami Amar, lalu kudekatkan mulut ke telinganya. Perlahan-lahan, kubisikkan syahadatain yang mulia di telinga lelaki ini. Amar menurut perlahan-lahan butir demi butir. "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah Ta'ala, dan Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam itu pesuruh Allah."

Umat Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam bertambah seorang.

Puji dan puja untuk Allah Azzawajalla, selesai sudah urusan mengIslamkan Amar. Kubingkas bangkit lalu melabuhkan punggung di sebelah kiri Shob. Kualunkan kalimah penyaksian, telinganya setia menadah. Tanpa keraguan, dia menyambut sedaya mungkin.

Umat Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam bertambah lagi seorang.

Syahdu, syukur dan hamdallah bersatu, mencetus kegirangan. Lafaz tahmid bergema di mana-mana, biarpun hanya di kalangan lapan pemuda yang asyik menyelongkar kebenaran.

Pelbagai aksi dirakam menerusi lensa kamera. Terasa kehangatan ukhuwah yang terbina di atas batu asas yang bernama akidah. Joy turut kelihatan gembira. Pemuda suku abad yang agak pendiam itu mulanya hanya tersenyum, tapi kini ngomelnya makin banyak. Kuharap suatu hari nanti, Joy akan turut berkongsi anutan bersama Amar dan Shob. Juga aku, Auzan, Rabbani, Saiful dan Rahman. Mengabdikan diri ke hadrat Allah Ta'ala Yang Maha Esa.

Tiba-tiba Amar mengumumkan sesuatu. "Kami ada minta tolong kawan kami untuk petik beberapa sayur-sayuran, sebagai hadiah buat kalian. Terimalah dari kami, beberapa biji kobis dan timun." Langsung dia terseringai. Shob dan Joy pula mengangguk bersetuju.

Mulianya hati kalian. Moga-moga Islam akan bertambah mulia dengan pengIslaman Amar dan Shob! Dua bungkusan besar berisi sayur segar-bugar diterima Rahman.

Semoga pulangnya Amar dan Shob ke pangkuan Islam bakal menjadi simbol abadi sebuah persahabatan yang terukir mewah di atas menara syahadah. Kalian saudara kami, di dunia jua di akhirat! Berikrarlah, keakraban yang tercipta tidak akan putus biarpun dicincang oleh musuh-musuh agama. Munajat dipanjatkan, moga-moga pertemuan singkat ini kelak akan dikurniai lindungan 'arasy Allah Ta'ala yang mulia. Ya Rabb, satukan hati-hati kami!

Amin. Amin. Amin.

Tidak semena-mena Joy mendekatiku.

"Saya juga mahu masuk Islam." Joy memohon penuh optimis.

Air mata sudah tidak terkawal lagi. Allah Maha Besar! Rencana agung Tuhan menewaskan segala macam rancangan makhluk. Allah Ta'ala pemilik tunggal jiwa semua manusia. Hanya Tuhan yang berhak menganugerahkan hidayah, dan kini permata syahadah datang bertamu di kalbu Joy. Jiwa yang benar-benar mencintai kebenaran.

Sisa air di pelupuk mata diseka lembut, "Alhamdulillah, mari saya syahadahkan." Tangan Joy kugenggam ketat. Kalimah syahadah dibisikkan lambat-lambat, Joy mengikut penuh fasih.

Umat Nabi Muhammad Solallahu 'alaihi wassalam bertambah lagi.

Perjumpaan hampir dua jam ini akhirnya berakhir. Masing-masing saling berpelukan, tirai yang memisahkan semakin terlerai, moga-moga leraian ini dinilai sebagai ibadah di sisi Tuhan. Sungguh, perpisahan itu memedihkan! Namun penawarnya nantiasa tersedia, penyembuhnya ada di samping kita; saling mendo'akan sesama saudara seagama.

Ya Rabb, berkatilah kehidupan (dari kanan) Amar, Shob dan Joy!

. . . . . . . .

Solat jama' takhir dikerjakan di Surau An-Nur. Tenang, setenang kalbu yang baru disimbahi cahaya iman.

Bacaan do'a diaminkan.

Moga-moga taqwa yang mewarnai diri kekal lestari hingga hujung nyawa. Usah dipersia walau sesaat nikmat iman kurniaan Tuhan.

Kerana begitu ramai yang dahagakannya.

-TAMAT-
Teruskan membaca!

Working on a few things

|
Time for me have been or seem rather packed. Either because things come to me for me to work or I myself look for work to get myself busy with or in Malay people say it, "Sibuk ke menyibukkan diri?" or something to that sort. Anyway, I'm currently working on a few mini-projects and a few big projects which needs to be done before UTM reopens for the new session and semester. If not, I'd be having a tough time doing lots of things PLUS doing cumpolsary academic assignments.

Among the few mini-projects:
  1. Research the details from the speach of Dr. Tariq as-Suwaidan regarding "The Future of Our Deen".
  2. Studying a few basic Islamic books to discuss with friends whom I told them to read those books.
  3. Re-susun e-books to print them nicely so that my very own maktabah would be more complete. (Ceh, padahal baru sikit sangat yang ada!)
And because of that, I don't have time to write much (or even any!) post to posted on this orange blog of mine.
Teruskan membaca!

For Us to Ponder

|
I have been quiet for quite some time now, so I'm postin' this for us to hisaab ourselves and ponder the meaning of the ayah from the Qur'an. Let our hearts be open to the nur that comes from it, so that only nur shall shine from within, shining through the darkness that covers it, which makes us bad and... and... Ok, no more words. The ayah:

"Baginya (manusia) ada malaikat-malaikat aygn selalunya menjaganya, dari depan dan dari belakangnya. Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubahnya sendiri. Dan apabila Allah kehendaki keburukan terhadap suatu kaum, tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia."
[ar-Ra'd, 13:11]
Teruskan membaca!