Ibadah Yang Sahih

|
Juga sudah agak lama tidak mengupdate, dan bulan yang lepas agak sikit post berbanding dengan bulan-bulan yang sebelumnya. Tiba-tiba masa tengah berjalan di bumi UTM dapat idea macamana nak bawa point yang baru ni, dan ada azam yang kuat timbul. So, this is the second ciri yang diharapkan dari seorang muslim yang mengikuti manhaj tarbiyah ini.

--
#2
صحيح العبادة
Sesungguhnya Allah telah menciptakan kita semua yang terdiri dari Jinn dan manusia dengan tidak ada tujuan lain selain untuk beribadah kepadaNya. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam bacaan yang diulang-ulang:

"Dan tidaklah Aku menciptakan Jinn dan Manusia melainkan untuk mereka memperhambakan diri (kepadaKu)"
[az-Zaariyat, 51:56]

Seandaianya kita mengambil dari ayat ini akan makna ibadah itu sendiri, ibadah membawa maksud "perbuatan-memperhambakan-diri" kepada Allah. Dan dari ayat ini juga dapat difahami bahawa ibadah itu melibatkan seluruh aspek kehidupan. Tidak kira sama ada amalan itu besar atau kecil, terang-terang atau tersembunyi, bersendiri atau beramai-ramai, dan seterusnya. Setiap amalan yang kita lakukan sepatutnya merupakan ibadah.

Namun demikian, ada dari kalangan manusa yang tidak taat kepada Penciptanya lalu dia melakukan perbuatan-perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah. Atau ada juga yang meletakkan tujuan yang baik lagi ikhlas, tapi caranya untuk sampai ke matlamatnya telah jauh sekali terkeluar dari garis batasan yang telah dibuat oleh yang Maha Pencipta. Ada pula yang melakukan perbuatan-perbuatan yang baik pada pandangan manusia tetapi pada hakikatnya di dalam hatinya dia telah merancang untuk mendapatkan keuntungan bagi dirinya sendiri. Dan amalan-amalan ini ditolak sama sekali.

Jadi apakah amalan yang diterima oleh Allah? Yang akan menjadi 'ibadah yang sahih di sisiNya? Sudah tentu 'ibadah yang sahih itu merupakan sesuatu mempunyai elemen-elemen berikut di dalamnya:
  1. Niat yang ikhlas kerana Allah sahaja dan semata-mata.
  2. Amalan yang berada di dalam batasan syara'.
Dan ini merupakan konsep 'ibadah yang sahih secara amnya.

Walaubagaimanapun, di dalam konteks ibadah yang khusus caranya hanyalah seperti mana yang telah diajarkan oleh RasuluLlah SAW, dan tidak boleh dilakukan dengan cara yang selain yang telah diajarkan oleh Baginda. Antara contoh 'ibadah dan dalilnya ialah:
  1. Solat; "Solatlah kamu sepertimana aku solat."
  2. Haji; "Ambillah olehmu dariku manasik kamu."
  3. Dan terdapatnya banyak contoh lagi yang boleh dirujuk pada buku yang khusus membincangkan masalah/hal ini.

Seandainya ada orang yang menambah atau mengurangkan sesuatu dari 'ibadah-'ibadah khusus, maka ia adalah bid'ah yang wajib ditolak. Ini adalah kerana ar-Rasul pernah menyebut di dalam hadithnya:

Dari Ummul Mu'minin Ummu 'Abdullah 'A'isyah R.A. katanya, RasuluLlah SAW pernah bersabda: "Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan di dalam urusan kami ini yang bukan daripadanya maka ia adalah ditolak". Riwayat Bukhari dan Muslim. Dan dalam riwayat muslim ada disebut "Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan dari urusan kami maka ia adalah ditolak".
[Bukhari & Muslim]

Jelas dari ayat ini bahawa bid'ah itu merupakan sesuatu yang tidak diterima, bahkan ditolak. Maka di dalam 'ibadah yang khusus, terdapat satu lagi syarat yang perlu kita tambah dari dua yang asal iaitu:
"Bahawa 'ibadah yang dilakukan adalah sepertimana yang dilakukan atau diajar atau ditunjukkan oleh RasuluLlah, tanpa mengurangi atau menambah di dalam mana-mana bahagian ibadah itu walau sedikitpun melainkan kelonggaran itu disandarkan pada nas-nas yang sahih sahaja."
Maka beramallah kita dengan amalan-amalan yang sahih lagi benar, kerana ia akan menjadi bekalan dan bukti buat kita di akhirat kelak:

"Dan katakanlah: 'Beramallah kamu nescaya Allah, RasulNya dan orang-orang mu'min akan melihat amalan kamu. Kamu akan dikembalikan kepada yang mengatahui perkara ghaib dan perkara yang terang, lalu di mengkhabarkan kamu tentang apa yang telah kamu lakukan."
[at-Taubah, 9:105]

--
Artikel-artikel berkaitan:

No comments: