Islam Wajib Ditegakkan!

|
Menjadi sunnah kepada alam ini bahawa ianya mesti berjalan dengan berpaksikan kepada Islam. Andaikata ada suatu kuasa yang lain selain dari Islam yang cuba mengubah sunnah ini, sudah pasti dunia ini akan menuju ke arah kemusnahan yang teruk. Sepertimana yang pernah dipersoalkan oleh para malaikat suatu ketika dahulu:

"Dan ingatlah ketika Tuhanmu berkata kepada para malaikat: 'Sesungguhnya aku ingin menjadikan di muka bumi khalifah.' Mereka (para malaikat) berkata: 'Adakah Engkau ingin menciptakan padanya orang yang akan membinasakannya, dan dia menumpahkan darah? Sedang kami bertasbih, memujiMu dan menyucikanMu?' Allah berkata: 'Sesungguhnya aku mengetahui apa yang tidak kamu semua ketahui.' "
[al-Baqarah, 2:30]

Ini juga telah ditunjukkan oleh Allah di melalui sirah ambiya'. Bagaimana mereka diutus oleh Allah SWT, kerana ingin menyelamatkan manusia daripada kebinasaan yang mereka lakukan dan kebinasaan abadi yang bakal menunggu mereka disebabkan perbuatan mereka di dunia.

Nabi Lut telah membawa wahyu, untuk menyelamatkan kaumnya dari kerosakan. Kerosakan akhlak yang sangat luar biasa, iaitu hubungan di antara laki-laki dan laki-laki. Sedang Allah telah menjadikan fitrah atau sunnah alam itu berpasang-pasangan, lelaki untuk wanita dan juga sebaliknya. Namun kaum ini tetap degil setelah diseru oleh Nabi mereka dan mereka itu ditimpa azab yang sangat pedih oleh Allah SWT.

Dan kita juga dapat memerhatikan bagaimana kaum Nabi Nuh, memperlakukan baginda sesudah baginda itu berda'wah kepada mereka. Siang dan malam baginda berda'wah kepada mereka, dan balasan yang diperolehi tidak lain dan tidak bukan adalah ancaman-ancaman, kutuk-kutukan dan macam-macam lagi perkara yang zalim yang disebutkan di dalam al-Qur'an. Bagaimana mungkin kita tidak menitiskan air mata tatkala membaca kisah Nabi ini tatkala baginda merayu keadaannya kepada Allah?

"Nuh berkata: 'Tuhan(ku), sesungguhnya mereka telah menderhakai aku dan mereka mengikuti jalan yang tidak menambahkan hartanya dan anak-anaknya melainkan dalam kerugian.' "
[Nuh, 71:21]

"Nuh berkata (doa): 'Tuhanku, jangalah tinggalkan di atas muka bumi ini seorangpun orang kafir sebagai penduduknya."
[Nuh, 71:26]

Da'wah dan risalah yang dibawa oleh nabi Nuh yang hanya disambut baik oleh segelintir kecil kaumnya tidak cukup untuk mengelak dari terus berlakunya kerosakan moral. Dan disebabkan kaumnya yang degil itu tidak mahu mendengar seruan yang baik, Allah telah menimpakan azab yang sangat-sangat pedih di dunia lagi.

Pada zaman RasuluLlah SAW juga telah berlaku perkara yang sama. Baginda SAW telah diutuskan ketika jazirah arab dilanda penyakit jahilyyah, iaitu suatu penyakit yang membawa kepada kehancuran manusia. Saat-saat dan tempoh tersebut merupakan tempoh yang kririkal, kerana pada ketika itu perkara-perkara yang jauh dari sunnah alam telah meluas. Lalu keluasan itu membawa kepada hati menerimanya dan menganggapnya normal di dalam kehidupan. Lalu jahilyyah itu dilihatkan oleh syayaatin seolah-olah seperti sunnah.

Pada saat dan ketika zaman jahiliyyah tersebut, perbuatan-perbuatan terkutuk seperti zina, membunuh dan lain-lain dilihat oleh masyarakat sebagai perkara biasa. Dan di saat inilah ar-Rasul itu diutuskan. Untuk menyelamatkan bangsanya yang sedang rosak dimakan oleh kejahilan, untuk dibawa kepada nur dan hidayah. Tetapi bagi risalah yang dibawa oleh Rasul yang terakhir ini tidak berhenti setakat untuk menyelamatkan suatu puak atau bangsa yang tertentu sahaja, bahkan ia merupakan suatu risalah untuk menyelamatkan sekalian umat manusia walaupun yang sesudah zaman kehidupannya dan sehinggalah ke hari qiamat.

Islam yang kita anuti sekarang merupakan risalah yang terakhir, merupakan agama yang terlengkap berbanding agama-agama yang sebelum dan ia adalah yang paling releven di sisi Allah:

"Pada hari ini, Aku telah menyempurnakan bagimu deen kamu, dan telah Aku cukupkan ke atas kamu nikmatKu dan aku redha untukmu Islam itu sebagai agama."
[al-Maidah, 5:3]

Dan ianya merupakan suatu cara hidup yang diwahyukan oleh Allah kepada RasulNya itu, untuk menyelamatkan manusia keseluruhannya daripada diazab olehNya samada pada hari akhirat nanti atau mungkin juga ketika di dunia lagi.

Sesungguhnya, saya melihat dan memerhati keadaan pada hari ini kehancuran telah berleluasa. Perbuatan-perbuatan yang merosakkan itu pada masa ini telah dianggap sebagai suatu norma di dalam kehidupan. Perkara dari yang sebesar-besarnya seperti membunuh dan memerangi ummat Islam sehinggalah kepada yang kononnya tidak berapa besar seperti kes zina. Mereka yang melakukan kesemua ini, apabila diingatkan kepada mereka supaya mereka tidak berbuat kerosakan, mereka akan menjawab seperti dibawah:


"Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Janganlah berbuat kerosakan di muka bumi!' Lalu mereka menjawab: 'Hanyasanya kami ini orang yang berbuat pemulihan/pembaikan' "
[al-Baqarah, 2:11]

Saya sedih apabila terdapat banyak diberita-berita dan dada akhbar yang melaporkan tentang kes-kes faahisyah (zina, rogol, dsb). Begitu banyaknya berita tentang kes-kes yang seperti ini dilaporkan, sehinggakan generasi anak-anak kecil pada zaman ini mungkin menjadi tidak sensitif langsung tentang perkara-perkara yang sangat-sangat keji dan hina ini. Saya pernah menghuraikan tentang penggunaan perkataan idol dan kesensitivan generasi sesudah ini terhadapnya pada masa akan datang di dalam artikel "Maulid dan 2 Perkara". Situasinya juga sama. Media massa yang memainkan peranan yang penting di dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap sesuatu isu, harus mengubah trend yang teruk ini. Kalau tidak, masyarakat bumi pasti akan menuju kepada kehancuran dan kerendahan yang lebih hina dari yang pernah berlaku pada suatu ketika dahulu.

Sedangkan di dalam Islam, seandainya ada orang melakukan dosa maka dia itu pasti akan dihukum di hadapan halayak ramai. Agar ianya menjadi pedoman buat yang lain supaya menjauhi perbuatan-perbuatan yang merosakkan, bahkan mendatangkan dosa serta mengheret ke neraka. Bukanlah sekadar menyiarkan apa yang berlaku, lepas itu membiarkan sahaja.

Tidak boleh tidak, pasti Islam sahajalah jalan penyelesaiannya. Tidak boleh tidak, Islam sahajalah yang menjamin kesejahteraan ummah pada masa akan datang. Dan tidak boleh tidak kita mesti melakukan suatu usaha yang luar biasa agar Islam itu kembali menguasai dunia dan menjadi paksi sandaran di dalam apa jua masalah sekalipun.

--
Saya juga mencadangkan:

No comments: