Islam

|
Islam merupakan deen atau cara hidup yang telah diprogramkan oleh Allah untuk setiap makhluknya. Secara hakikatnya, semua perkara yang dapat kita lihat dan juga yang tidak, telah menyerahkan dirinya kepada Allah. Awan yang terapung di langit dan ditiup oleh angin tidak bergerak melainkan dengan sunnah yang ditetapkan oleh Allah. Tumbuhan yang tumbuh dari biji yang kecil yang sangat lemah menjadi pula pokok yang besar dan kukuh berlaku tidak lain dan tidak bukan juga hanya kerana ia mengikuti sunnatuLlah. Manusia yang berjalan di atas muka bumi yang luas ini, untuk melakukan segala macam perkara ini juga telah bertindak dengan berlandaskan sunnatuLlah, samada mereka itu sedar ataupun tidak. Maka sesungguhnya ini adalah Islam dalam konteks yang umum sepertimana yang telah Allah sebutkan di dalam ayatnya:

"Adakah mereka itu mencari selain dari deen Allah? Sedang telah Islam apa yang ada di langit dan bumi, dalam keadaan taat dan terpaksa, dan kepadaNyalah mereka kembali"
[Aali 'Imran, 3:83]

Secara umumya, kita memahami bahawa Islam adalah itu. Tetapi dalam konteks manusia dan jinn, terdapat seperkara tambahan yang bagi Islam mereka. Mereka harus beriman dengan hati mereka dan mengaku pada lisan mereka serta amalan itu menjadi saksi kepada keIslaman mereka kepada Allah. Ini semua adalah kerena mereka ini merupakan makhluk yang telah diberikan hati dan aqal oleh Allah, dan kedua ini menjadi suatu aset yang besar bagi kedua-dua jenis makhluk tersebut. Aqal untuk memikirkan dan hati untuk memahami. Kita dapat melihat suatu contoh yang sangat baik menerangkan hal ini di dalam sirah para ambiya'.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ya'qub:

"Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata): 'Hai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan kamu muslim!' "
[al-Baqarah, 2:132]

Nabi Muhammad SAW sendiri:

Katakanlah: "Apakah akan aku jadikan pelindung selain dari Allah yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak diberi makanan?" Katakanlah: "Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang yang pertama sekali menyerah diri (kepada Allah), dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang musyrik!"
[al-An'am, 6:14]

Dan tatkala Jibril AS datang kepada RasuluLlah SAW dalam keadaan semua sahabat tidak mengenalinya, beliau telah bertanyakan kepada Baginda tentang Islam:

...Dan Jibril berkata: "Wahai Muhammad! Khabarkan kepadaku tentang Islam". Maka Nabi menjawab: "Islam itu adalah kamu bersaksi bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan Muhammad adalah RasuluLlah, kamu mendirikan solat, kamu menunaikan zakat, kamu berpuasa Ramadhan, dan kamu mengerjakan Haji ke baytuLlah sekiranya kamu mampu" Jibril berkata: "Benarlah kamu" Maka kami kehairanan, dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya... (Potongan hadith yang sangat panjang!).
[Muslim]

Di dalam hadith ini, ar-Rasul mula menyatakan bahawa Islam itu pertamanya bermula dengan penyaksian syahadah. Dan kita mengetahui bahawa penyaksian ini tidak lain dan tidak bukan hanya berlaku apabila sesorang mengeluarkan kata-kata syahadah melalui lisannya. Dan setelah itu, ia diikuti oleh amal-amal yang membuktikan kebenaran syahadah tersebut sepertimana yang telah disebutkan di dalam hadith tersebut. Dan dari ini, kita mengetahui bahawa Islam tidak akan sempurna melainkan dengan adanya ketiga-tiga elemen ini, iaitu yakin (iman), iqrar (syahadah), dan amal.

Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, aqal digunakan untuk berfikir sedang hati digunakan untuk memahami. Dalam suatu post yang tersendiri saya insya Allah akan menghuraikan apa yang dimaksudkan dengan "Faham" atau "al-Fahmu". Tetapi marilah kita melihat kepada ayat Allah ini:

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi mereka tidak memahami dengannya, mereka mempunyai mata tetapi mereka tidak melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dengannya, dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak mendengar (ayat-ayat Allah) dengannya. Mereka itu seperti binatang ternakan bahkan lagi sesat lagi. Mereka itu adalah orang-orang yang lalai."
[al-A'raf, 7:179]

Dan ayat ini, tentang ruginya orang yang tidak mengambil Islam serta mengakuinya sebagai landasan yang terbaik untuk kejayaan di dunia dan akhirat:

"Barangsiapa yang mencari selain Islam sebagai deen mereka, maka sekali-kali tidak akan diterima daripadanya. Dan di akhirat dia termasuk orang-orang yang rugi."
[Aali Imran, 3:85]

Islam dan Jahiliyyah

Walaubagaimanapun, terdapat ramai dari kalangan masyarakat kita khususnya di Malaysia yang telah menganut agama Islam dan melakukan lima perkara seperti yang disebutkan tadi di dalam hadith yang saya bawakan itu. Tetapi pada masa yang sama mereka masih lagi melakukan banyak amalan jahiliyyah. Jahiliyyah yang saya maksudkan ialah sesuatu perbuatan yang selain dari yang ada dalam kawasan atau batasan Islam. Seandainya definisi ini digunakan, maka Islam dan Jahiliyyah itu pasti dan selama-lamanya tidak akan bertemu. Dan sememangnya hakikatnya begitu.


Tidak ada Islam di dalam Jahilyyah dan tidak ada Jahilyyah di dalam Islam, kerana kedua-duanya adalah independant of each other. Namun seorang muslim itu, pasti bertahap dalam menerima Islam. Ada yang telah sepenuhnya mengambil Islam sebagai deennya tanpa meninggalkan sisa-sisa jahiliyyah di dalam diri. Dan ada yang baru nak memahami Islam sedikit demi sedikit.

Di dalam sirah Nabawiyah sendiri menunjukkan bagaimana di dalam banyak perkara, Islamisasi dilakukan secara berperingkat. Sebagai contohnya, pembinaan negara Islam. Pada awal zaman Islam, ia hanya merupakan agama aqidah tanpa membawa persoalan-persoalan daulah dan negara. Yang hanya dibawa selama 13 tahun di Makkah oleh baginda hanyalah program penyucian aqidah. Dan setelah itu, baru adanya perintah dari Allah untuk berhijrah dan sebagainya sehinggakan negara Islam Madinah itu terbentuk.

Maka masyarakat kita pada hari ini telah menerima Islam secara umumnya, mereka bersyadah, melaksanakan solat, zakat, puasa, dan haji. Tetapi pada masa yang sama kebanyakan dari mereka masih lagi terikat dengan terlalu banyak benda jahiliyyah. Sebagai contoh yang mudah, rancangan-rancangan di TV yang banyak mendedahkan aurat di sana-sini.

Jahiliyyah Yang Menyekat

Apabila kita mengambil barat sebagai contoh atau sandaran kita, maka apa yang akan terjadi hanyalah kemunduran dari segi nilai-nilai ketamadunan. Manusia akan bergerak di dalam gerabak jahiliyyah ini ke arah kehancuran sejagat dan ramai yang tidak sedar akan hal ini. Ini kerana jahiliyyah itu melalaikan manusia dari perkara-perkara realiti yang sangat penting.

Kita dan Islam

Seperti yang saya katakan tadi, masyarakat kita sudah menerima sebahagian sedikit dari Islam. Seandainya kita ini berusaha dengan lebih keras lagi untuk memahami Islam dan mengamalkannya di dalam keseluruhan aspek kehidupan kita, nescaya kita akan menjadi umat yang terbaik. Kita akan maju dan kitalah yang akan memimpin dunia.

"Kamu adalah ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan kamu beriman kepada Allah..."
[Aali 'Imran, 3:110]

Tetapi hal ini hanya jika kita meninggalkan jahiliyyah sepenuhnya dan jika masyarakat kita sepenuhnya merasakan bahawa Islam yang mereka amalkan itu tidak cukup. Bahkan Islam itu harus menjadi paksi utama dunia. Sehinggakan pada akhirnya lahirlah Islam yang sempurna, dan sesuai dengan firman Allah SWT:

"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata."
[al-Baqarah, 2:208]

Dan akhirnya, saya ingin mengemukakan persoalan. Masih terdapatkah di dalam diri kita ini karat-karat jahiliyyah atau sudah Islam sepenuhnya kita ini?

--
Artikel-artikel berkaitan:

No comments: