Antara Matlamat dan Persediaan 01

|
Di bumi ini, siapakah yang tiada matlamat? Sudah tentu semua orang mempunyai matlamat hidup masing-masing. Paling tidakpun, manusia yang paling lemah atau dungu juga bermatlamat untuk melalui hidup dengan kesenangan dan keselesaan. Tetapi, disebabkan manusia ini merupakan makhluk yang mudah lupa maka ramai dari kalangan mereka yang tidak ingat tujuan utama mereka diciptakan. Dan disebabkan itu, marilah kita sama-sama merenung kembali tentang tujuan Allah menciptakan kita di muka bumi.

Allah SWT telah menyebut bahawa kita ini tidak lain dan tidak bukan dicipta untuk memperhambakan diri sepenuhnya kepada Allah dan ber'ibadah kepadaNya. Ini telah disebutkan di dalam ayatNya:
"Dan tidaklah Aku ciptakan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaku."
[az-Zariyat, 51:56]

Dan ketika Allah ingin menciptakan Adam AS, bapa kepada segala manusia, Dia telah menyebut tentang penciptaan manusia kepada para malaikat:
"Dan (ingatlah) apabila Tuhanmu berkata kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku ingin menjadikan khalifah di muka bumi..."
[al-Baqarah, 2:30]

Dan sesungguhnya, matlamat apa yang lebih baik selain dari matlamat yang telah ditentukan oleh pencipta sekalian manusia itu sendiri? Bukankah Dia Yang Paling Mengetahui tentang segala apa yang diciptakannya? Bukankah seorang engineer yang mereka-bentuk kereta itu lebih arif tentang fungsi sesebuah kereta ciptaannya?

Maka pengetahuan dan kefahaman yang sebenar tentang matlamat hidup ini pasti akan mempengaruhi cara kehidupan kita dalam sehari-harian. Tidak dapat tidak, ia akan membentuk jalan kehidupan yang akan dilalui agar tercapainya dua matlamat utama tersebut.

Walaubagaimanapun, secara amnya, keadaan masyarakat dunia pada zaman sekarang telah jauh lari dari kehidupan bermatlamatkan dua matlamat tersebut. Bahkan ianya merupakan kehidupan yang setaraf dengan kehidupan haiwan dan binatang. Dengan rutin hariannya untuk; tidur, makan, beranak dan tidur lagi. Ini telah disebutkan oleh Allah di dalam ayat:
"Dan sesungguhnya, kami telah menyediakan neraja Jahannam bagi kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak memahami dengannya, dan mereka memunyai mata tetapi tidak melihat dengannya, dan telinga tetapi mereka tidak mendengar dengannya. Mereka itu umpama binatang ternakan bahkan lebih sesat lagi, mereka itu merupakan orang-orang yang lalai."
[al-A'raf, 7:179]

Hasilnya, peperangan dan huru-hara terjadi diseluruh pelusuk dunia. Golongan yang lebih berkuasa telah menindas dan menekan golongan yang lemah. Ini secara khususnya terjadi dalam dunia umat Islam di serata dunia. Palestin, Afghanistan, Chechnya, Pakistan, Iraq, Lebanon dan lain-lain negara Islam (dalam erti kata ramai penduduknya Islam) telah diserang oleh Barat dan sekutu jahatnya. Setelah habis satu dikerjakan mereka, beralih pula kepada yang lain. Tujuannya, melemahkan umat Islam di mana-mana sahaja mereka mampu.

[Bersambung...]

No comments: