AKP MENANG BESAR DI TURKI

|

AKP MENANG BESAR DI TURKI


Segala puji dan syukur adalah milik Allah semata-mata. Disebalik kemelut yang dihadapi oleh umat Islam hari ini hasil serangan budaya berterusan dan adakala serangan senjata oleh Barat Amerika dan Eropah, Komunis Rusia, Zionis Yahudi dan selain mereka, kita dihiburkan pula dengan berita-berita kemenangan umat Islam di dalam Negara mereka sendiri seperti kemenangan HAMAS di Palestin dan pada hari ini kemenangan Parti AKP yang latarbelakang Islam di dalam Pilihanraya Umum Turki.

Ketika rencana ini ditulis, lebih 90% pengundi telah keluar mengundi di Pilihanraya Umum Turki 22 Julai 2007 dan pastinya Parti Keadilan dan Pembangunan berlatarbelakang Islam, pimpinan Reccep Tayyib Erdogan yang beroleh sekitar 48% undi akan menang dan membentuk kerajaan yang baru. Ini diikuti oleh Parti Republikan (berhaluan kiri sederhana) dengan mendapat sekitar 20% undi dan Parti Gerakan Kebangsaan (nasionalis) dengan mendapat sekitar 15%. Calun bebas yang turut menang ialah Mas’ud Yalmaz (bekas Perdana Menteri Turki), Muhsin Bazjioglu, Aqeen Birdal (berhaluan kiri sederhana) yang terkenal sebagai pejuang hak-hak kemanusiaan.

Bilangan yang keluar mengundi mencapai 80% untuk memilih seramai 550 ahli Parlimen dari seramai 7395 calun dari 14 parti dan 699 calun bebas. Parti-parti yang bertanding termasuk yang berhaluan konservatif demokrasi, halian kanan dan kiri, komunis sekular, nasionalis totok, nasionalis sederhana, kebangsaan Kurdi berhaluan kiri dan kanan.

Ramai dikalangan kita yang masih ingat, kisah sekitar tahun 70an, seorang pelancung Islam menziarahi suatu kampung di Turki. Apabila masuk waktu solat beliau melaungkan azan di sebuah surau. Tiba-tiba datang beberapa orang lanjut usia ke surau menemui beliau dan berkata, “Kami dah lama tak mendengar azan dalam bahasa Arab seperti ini setelah Kamal Ataturk merampas kuasa berdekad lalu”. Demikianlah sejak 1924, apabila Sultan Abdul Hamid II, khalifah terakhir Uthmaniah digulingkan, identiti Islam pada umat Turki dirubah secara sistematik atau paksa sehingga lahir generasi demi generasi baru selepas itu yang nama mereka Islam tetapi berkeperibadian Barat.

Namun Allah mempunyai tadbirNya yang tersendiri. Sunnah bergilir dalam mempengaruhi dan seterusnya memimpin masyarakat terus menerus berjalan dan mengukir sejarah mana-mana bangsa dan Negara. “Demikianlah hari-hari Kami gilirkan di antara manusia” (Al-Quran). Lahir dari kalangan masyarakat Turki gerakan-gerakan Islam meniup kembali ilmu, kefahaman dan semangat juang berasas Islam yang hakiki dan sebenar, jauh dari “Islam” yang dipaksakan kepada mereka oleh selera Barat dan boneka-bonekanya dari kalangan tokoh-tokoh dalam masyarakat Islam sendiri.

Hari ini Turki berbeza dari hari-hari sebelumnya. Kesedaran dan kemahuan untuk kembali menghayati Islam semakin menebal di dalam jiwa rakyatnya lebih-lebih lagi dikalangan generasi baru. Walaupun kemenangan Parti Rafah beraliran Islam pimpinan Najmudin Arbakan diawal tahun 1990an hanya sebentar sebelum disingkirkan dari politik oleh tentera dan mahkamah, namun kemenangan awal aliran politik Islam di Turki tersebut sudah cukup memberikan ransangan dan keyakinan diri kepada umat di Turki sehingga ke hari ini bahawa Islam tidak mustahil bahkan sudah mula kembali ke dalam hati dan kehidupan harian dan kenegaraan mereka.

Kita sebagai umat Islam dirantau sini, harus mengambil iktibar dari kemenangan aliran Islam di Turki seperti berikut :

1. Aliran-aliran komunis, Barat, nasionalis, kiri, kanan, konservatif dan sebagainya adalah suatu ideologi yang rapuh dan lemah dibandingkan dengan ideologi Islam untuk umat sejagat apatah lagi untuk umat Islam sendiri. “Katakanlah telah datang Kebenaran dan telah hilang Kebatilan. Sesungguhnya Kebatilan pasti lenyap” (Al-Quran).

2. Betapa hebatnya perancangan musuh-musuh Allah dalam merubah keperibadian Islam di dalam diri dan masyarakat Islam, namun tidak mustahil Islam akan kembali difahami dan dihayati asalkan pendakwah-pendakwah Islam tidak jemu berusaha bersungguh-sungguh menyebarkan Islam di dalam mesyarakat. Apa yang dirancang dan diusahakan oleh Barat melalui Kamal Ataturk berdekad-dekad lalu sejak 1920an menemui kecundang akhirnya apabila rakyat kembali memilih Islam sebagai pimpinan. “Mereka merancang, Allah (juga) merancang. Allah adalah sebaik-baik perancang” (Al-Anfaal).

3. Islam tidak gentar di dalam bersaing dengan ideologi-ideologi lain di gelanggang Pilihanraya Umum asalkan ianya berjalan dengan adil dan bebas bukan semata ketika penghakiman di hari Pemilihan tapi juga hari-hari menjalankan aktiviti di dalam masyarakat serta pendakwaan dan pembelaan di peti televisyen dan akhbar utama sepanjang tahun. “Celupan Allah. Siapakah yang lebih baik celupannya selain Allah” (Al-Quran).

4. Ideologi(agama)Islam yang diciptakan Allah sesuai dengan Fitrah manusia adalah mudah diterima oleh rakyat jika disampaikan oleh para pendakwah dengan cara dan teknik yang paling berhikmah dan terkini. Rakyat Turki yang diselaputi Budaya Barat masih dapat menerima Ideologi (Fikrah) Islam yang disampaikan kepada mereka. “Hadapkanlah wajahmu ke agama yang lurus (Islam) (iaitu) fitrah Allah yang difitrahkan untuk manusia” (Al-Quran).

5. Negara yang memberi kebebasan kepada rakyat dalam aktiviti dan memilih akan mendapat penyertaan dan ransangan positif dari mereka. Ini dibuktikan dengan peratus keluar mengundi yang tinggi pada kali ini iaitu melebihi 80%. “Tiada kebaikan pada kamu jika kamu tidak menegur kami (pemimpin). Tiada kebaikan kami jika kami tidak mendengar teguran kamu” (Khalifah Umar Al-Khattab).

6. Panjangnya perjuangan sesuatu umat boleh memakan masa berdekad-dekad bahkan berabad. Kemenangan aliran Islam yang kita saksikan hari ini dari keputusan Pilihanraya Umum Turki 2007 adalah bangun setelah jatuh atau tidur sejak 100 tahun yang lalu. Dakwah Islam ini bukan untuk mereka yang gopoh untuk menang semasa hayat, bunya sahaja, bahkan umur Dakwah ini dihitung dengan umur Umat. “Kalaulah perjalanan ini dekat, dan jaraknya pendik, nescaya mereka akan mengikut kamu (wahai Muhammad), tetapi ianya jauh dan penuh kepayahan” (At-Taubah).

7. Kepada para Pendakwah, setelah memahami Islam dan kewajipab berdakwah, mereka haruslah membentuk diri dan keluarganya sendiri, seterusnya berdakwah kepada segenap lapisan masyarakat melalui segala cara yang boleh demi memenangi hati dan dokongan mereka. “Berdakwahlah ke arah jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik. Berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik” (Al-Quran).

Kepada Allah jua kita bersyukur dan berdoa semoga Dia memenangkan agama dan pendokongNya di seluruh pelusuk bumi sehingga Islam kembali di mertabatkan seperti yang dikehendakki Allah swt. Semoga Dia memilih kita menjadi sebahagian dari pendokong agamaNya. Amin.


Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah
Naib Presiden ISMA.

original post taken from here.

No comments: