Tazkirah I

|

Islam adalah agama yang syumul. Tidaklah sempurna Islam itu tanpa ciri ini. Dan tidak lah sempurna seandainya ciri-ciri unik Islam yang lain ditinggalkan. Mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain adalah sama sekali dilarang. Perbuatan seperti itu hanya akan menyamakan kita seperti orang-orang terdahulu dari kalangan Yahudi dan Nasrani. Mereka mengambil dan beriman dengan sebahagian kitab yang diturunkan kepada mereka dan kufur kepada bahagian yang lain.

Islam merupakan cara hidup yang Allah S.W.T. anugerahkan kepada kita dengan tujuan kita menjadi hambaNya yang lebih mulia. Ia meletakkan Allah ‘azza wajalla di tempat yang tertinggi dan tidak langsung menyamakan sesuatu apapun denganNya. Dan cara untuk melakukan yang sedemikian telah ditunjukkan oleh RasuluLlah S.A.W. di dalam sunnahnya. Segala apa yang disandarkan kepada Islam adalah wadah untuk sampai kepada matlamat Islam itu sendiri, dan seandainya wadah tersebut tidak membawa sebarang hasil, bahkan lebih memburukkan lagi keadaan, tidak layak lagi ia terus digunapakai.


Sesuatu ideologi akan kekal sebagai teori tanpa 'amal yang praktikal. Sesuatu yang berkaitan dengan Islam aygn dilaungkan kepada masyarakat tidak sepatutnya terbatas kepada perkataan dan ucapan sahaja, tetapi ia harus disusuli dengan tindakan dan amal yang berkesan. Dan tindakan bukan hanya terbatas kepada pihak-pihak yang terbabit sahaja, tetapi ia harus merangkumi setiap orang yang bergelar muslim. Allah S.W.T. berfirman:



Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besar kemurkaan Allah sekiranya kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan.”

(as-Saf, 61:2-3)

No comments: