Hala Tuju Kita?

|
Artikel ini ditujukan kepada orang-orang yang berdakwah atau ingin berdakwah sahaja. Tapi kalau orang lain yang nak baca pastikan anda meletakkan mindset supaya:
"Suatu hari nanti aku ingin menjadi pendakwah yang hebat..!"
*************
Da'wah.... Hmm, merupakan suatu tugas yang amat mulia. Seandainya dilihat dari sudut sejarah atau sirah nabawiyah, kesemua mursalin (para rasul) terlibat dengan da'wah secara langsung sehinggakan boleh dikatakan bahawa sunnah para rasul yang terbesar ialah da'wah kepada Allah ( الدعوة إلى الله ). Dan Allah sendiri telah menyatakan kemuliaan orang berda'wah di dalam mu'jizatNya yang agung, iaitu al-Qur'an:


"Dan siapakah yang lebih baik kata-katanya berbanding dengan orang yang mengajak kepada Allah, dan dia beramal soleh, serta mengatakan, 'Sesungguhnya aku ini di kalangan orang-orang yang menyerah diri (kepada Allah)'? "
[Fussilat, 41:33]

Para ambiya' (nabi-nabi) dan mursalin terdahulu telah mengajak kaum mereka kepada haq dan kebenaran, tanpa mengira penat dan lelah yang mereka hadapi. Dan kesemuanya bersungguh-sungguh dalam melakukan da'wah mereka. Bagaimana mungkin seseorang itu tidak menitiskan air mata apabila terbaca kisah kesusahan da'wah mereka? Melainkan orang yang membaca tidak memahami? Seperti kisah Nabi Nuh yang mengadukan kepada Rabbnya tentag da'wah yang dilakukan:
"Dia (Nuh) berkata, 'Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam, tetapi seruanku itu tidak menambah (iman) mereka, lalu mereka lari (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku mengajak mereka (untuk beriman) agar Engkau mengampuni mereka, mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke wajahnya) dan mereka tetap (mengingkari) dan sangat menyombongkan diri...' "
[Nuh, 71:5-7]

Di dalam sirah RasuluLlah SAW juga kita dapat melihat bagaimana susahnya baginda pada zaman awal da'wahnya memulakan usaha yang murni ini. Dengan bermulanya ketika mana malaikat Jibril AS datang kepadanya di gua Hira' lalu mengajarkannya membaca, "IQRA'!", lalu baginda SAW menjawab, "Aku tidak tahu membaca...". Dan diulangi hal ini beberapa kali sehingga turunlah lima ayat pertama di dalam surah al-'Alaq. Da'wah yang berlaku secara sirr atau rahsia selama tiga tahun telah bermula di Makkah dengan membawa risalah Islam itu kepada orang-orang yang awal (atau الأوَلين).

Pada zaman awal penyebaran da'wah ar-Rasul SAW, risalah yang dibawa berkisarkan Aqidah Islamiyah khususnya keesaan Allah SWT. Maka dengan itu, kita dapat memerhatikan pada hari ini terdapat banyak ayat-ayat makkiyah di dalam al-Qur'an yang menceritakan tentang Aqidah. Dan dakwah yang dibawa oleh Rasul ketika itu, bukanlah merupakan da'wah yang sekadar ingin orang menyokong baginda seperti sokongnya pakciknya Abu Talib kepadanya walaupun beliau tidak beriman dengan risalah yang dibawa oleh baginda SAW.

Dan bukanlah juga da'wah itu disentuh di sana dan di sini tanpa mendapat sesuatu balik daripadanya. Akan tetapi da'wah ini merupakan suatu usaha yang dilakukan dengan harapan bahawa orang-orang yang dida'wah (mad'u) itu pada suatu hari nanti akan bersama-sama dengan da'i di dalam usaha menegakkan syi'ar-syi'ar Islam.

RasuluLlah SAW pada zaman awal da'wahnya telah melakukan suatu usaha secara kecil-kecilan "menangkap" dan membentuk atau mentajmi' dan mentarbiyah orang-orang yang terdekat dengannya. Dan ketika itu, perjumpaan-perjumpaan rahsia telah diadakan di antara Nabi SAW dengan para sahabatnya di rumah al-Arqam bin Abi Arqam. Antara nama para sahabat yang turut berada di rumah tersebut ialah, Ali bin Abu Talib, Abu Bakar as-Siddiq, Zaid bin Harithah, Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Saad bin Abu Waqas, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah, Abu Ubaidah al-Jarrah, dan al-Arqam bin Abi al-Arqam.

Pengumpulan, pembentukan dan peng"gerak"kan yang dilakukan oleh RasuluLlah SAW sangat teliti dan sangat hebat sehinggakan mereka yang pada asalnya itu termasuk dalam golongan jahiliyyah telah membebaskan diri dari fikrah tersebut dan kemudiannya menjadi tentera Allah (JunduLlah) yang sanggup berkorban demi menegakkan deen (agama) Allah yang mulia ini. Sehinggakan kesemua daripadanya itu menjadi asas-asas yang kukuh di dalam menegakkan suatu bangunan yang besar dan menjadi tulang belakang kepada bangunan tersebut.

Para sahabat yang awal ini merupakan golongan yang orang yang Allah sebutkan di dalam al-Qur'an:

"Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka juga redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Dan itulah kemenangan yang agung."
[at-Taubah, 9:100]

Golongan yang awal ini pula telah membina asas-asas yang lain sehinggalah pada akhir umur RasuluLlah SAW, Islam itu telah tersebar ke seluruh semenanjung Arab. Dan seandainya dilakukan kajian yang teliti, graf yang diperolehi adalah seperti yang yang ditunjukkan di bawah:

Sebagai kesimpulannya:
  1. Apa yang diharapkan ialah supaya apabila kita melakukan da'wah kita perlu ada mindset yang betul, iaitu mindset untuk menjadikan mad'u sebagai da'i pada suatu masa yang akan datang nanti. Tanpa mindset yang betul, kita akan melakukan banyak usaha da'wah yang "sia-sia" dalam konteks jangka masa panjang. Kerana jalan da'wah ini merupakan jalan yang sangat panjang dan nyawa kita pula sangat pendek. Dan ia memerlukan barisan pelapis yang hebat seperti mana yang berlaku pada zaman RasuluLlah. Mereka yang berada di rumah al-Arqam bin Abi Arqam itulah yang menjadi "tok syeikh" selepas kewafatan baginda.
  2. Pembinaan asas yang kukuh itu perlu dilakukan dengan pertamanya membersihkan serta menyucikan kefahaman Islam seseorang. Hal ini adalah seperti mana yang berlaku di dalam sirah nabawiyah yang telah diceritakan di atas. Masalah kerosakan aqidah yang melanda masyarakat arab jahiliyah pada ketika itu menjadi akar kepada masalah-masalah yang lain. Dan masalah akar inilah yang ditangani terlebih dahulu. Kefahaman Islam itu diterapkan di dalam orang-orang yang ingin diri mereka dibentuk.
  3. Setelah pengumpulan orang-orang yang berminat dengan Islam, Nabi memulakan proses pembentukan kepada golongan tersebut. Dan pembentukan yang dilakukan bukanlah pembentukan yang dibuat secara cincai tetapi pembentukannya ialah pembentukan yang teliti, agar seseorang individu yang hebat ketika zaman jahiliyah itu dapat menjadi lebih hebat semasa zaman Islamnya. Pembentukan asas yang cincai hanya akan menghasilkan bangunan yang tidak kukuh dan mungkin akan jatuh dalam tempoh yang singkat setelah siap pembinaannya. Sikap yang tergopoh-gapah hanya akan merosakkan hasil.

"Katakanlah: Inilah jalanku, aku mengajak kepada Allah di atas hujjah yang nyata, aku dan orang-orang bersamaku. Dan Maha Suci Allah, bukanlah aku dari kalangan orang-orang musyrikin."
[Yusuf, 12:108]

5 comments:

Anonymous said...

Assalamu`alaikum...saya nak kasi 1 cadangan. Bagi stiap istilah arab yang ditulis, harap anta dpt srtakan skali maksudnya. Ini bagi mmudahkan lagi pemahaman apa yg ingin disampaikan coz saya x brapa pandai sgt b.arab ni..huhuhu

Mashizaki Keikan said...

'alaykumussalam, ana dah buat beberapa perubahan/pindaan... maaf ye kalau ada terms yang x paham. ada lagi ke yang ana missed?

anwarjauhari said...

mas hizaki kei kan...anta karang sendiri ke? mantap...

Mashizaki Keikan said...

hehe... terima kasih... yang penting dapat point apa yang nak disampaikan...

musafir said...

manthop...manthop...rindu nak menulis macam ni...dah lama rasanya tak menulis.